suria

102, 560 Peneroka Langsai Bayaran Balik Pinjaman Felda - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Isnin diberitahu seramai 102,560 peneroka sudah melangsaikan bayaran balik pinjaman berjumlah RM3,105 juta kepada Felda.

Bagaimanapun kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, seramai 10,075 peneroka belum menyelesaikan pinjaman berjumlah RM92.863 juta.

"Daripada jumlah itu, RM28.58 juta masih dalam tempoh bayaran kembali yang dijadualkan berakhir pada 2017, manakala RM64.28 juta adalah dalam bentuk tunggakan," katanya menjawab soalan Datuk Kamarul Baharin Abbas (PKR-Teluk Kemang) di sini.

Kamarul Baharin ingin tahu butiran terakhir peneroka yang masih berhutang dengan Felda dan jumlah wang simpanan peneroka dalam Tabung Caruman Tanam Semula setakat ini.

Ahmad berkata sehingga 1 Oktober 2011, jumlah pinjaman bagi 112,635 peneroka adalah RM3,220 juta, merupakan kos pembangunan yang didahulukan Felda meliputi kos pembersihan hutan, pembangunan ladang, pembinaan sebuah rumah dan pinjaman persendirian.

"Pinjaman ini tidak termasuk bantuan sara hidup dan pinjaman lain yang disediakan Felda berjumlah RM2,313.16 juta yang terdiri daripada pinjaman pembesaran rumah berjumlah RM665.01 juta, Skim Insentif Usahawan (RM87.60 juta), pinjaman pelajaran (RM7.40 juta), pinjaman komputer (RM9.66 juta) dan lain-lain pinjaman berjumlah RM0.63 juta," katanya.

Beliau berkata sehingga kini Felda telah mendahulukan bantuan sara hidup bagi peneroka yang menanam semula berjumlah RM1,460 juta.

Mengenai jumlah simpanan peneroka dalam Tabung Caruman Tanam Semula, Ahmad berkata sehingga 31 Dis 2010, jumlah simpanan bagi tujuan tanam semula sawit kali pertama adalah sebanyak RM269 juta, manakala bagi tanam semula kali kedua berjumlah RM79 juta.

Beliau berkata bagi meningkatkan pendapatan dan memperbaiki taraf hidup peneroka, Felda juga telah menghapuskan RM499.31 juta hutang peneroka dalam pelbagai akaun sehingga kini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain