suria

Cerita Kini Tidak Lagi Wujud Dalam Format Tradisionalnya Iaitu ‘Buku”

KHABARNYA pesta buku popular dunia iaitu Pesta Buku Frankfurt (Jerman) yang akan berlangsung mulai Rabu ini benar-benar akan memperkatakan tentang masa depan industri tersebut ekoran kemunculan dunia digital dan juga multimedia sebagai medan baru untuk berkarya.

Dahulu para penulis buku hanya perlu berhadapan dengan penerbit buku atau “publishing house” tetapi kini mereka terpaksa berhadapan dengan realiti baru iaitu bagaimana untuk berunding hak mereka dengan penerbit televisyen, filem dan buku elektronik atau ebooks.

Menurut Pengarah Pesta Buku Frankfurt, Juergen Boos, urusan pembelian dan penjualan hak ciptaan karya kreatif telah meningkat sehingga 30 peratus sejak tujuh kebelakangan ini.

"Urusniaga hak cipta ini telah berkembang merentasi sempadan tradisional termasuklah dengan pihak-pihak yang kami dalam industri buku tidak pernah dengari atau kenali sebelum ini,” ujarnya kepada para pemberita.

Hari ini katanya para penulis perlu duduk berbincang dengan pelbagai pihak dan bukannya penerbit buku dan agen sepertimana amalan masa-masa lalu.

Beliau memberi contoh kes Cornelia Funke, salah seorang penulis buku kanak-kanak paling popular di Jerman yang mana bukunya berjudul "Reckless" ditulis dengan penulis skrip filem duduk di sebelahnya sejak dari awal penulisan lagi sehinggalah selesai.

Ini katanya adalah satu fenomena baru kerana ia tidak pernah berlaku pada masa dahulu.

Boos juga menarik perhatian dengan berkata, kontrak untuk mana-mana penerbitan buku pada asasnya tidak lebih 10 muka surat sahaja tetapi apabila penulis cerita duduk menyemak kontrak untuk mengadaptasikan ceritanya kepada filem, dia berhadapan dengan kontrak setebal beribu muka surat.

Ini juga katanya adalah merupakan satu fenomena baru yang tidak pernah dihadapi oleh para penulis buku cerita selama ini.

Begitu juga dengan cabaran baru dunia buku iaitu gajet berupa ebook yang bukan sekadar buku cerita dalam konsep buku semata-mata tetapi juga turut meliputi lain-lain produk multimedia seperti audio, video dan permainan komputer.

Pendek kata, hari ini pengarang buku dan penerbit buku perlu turut memikirkan soal strategi bisnes yang turut meliputi kerja-kerja multimedia dan penggunaan gajet baru dalam dunia buku.

Dan sebagai respon kepada kepelbagaian ini semua, satu but pameran yang dikhususkan untuk wakil-wakil daripada pelbagai industri kreatif baru ini akan turut ditempatkan pada pesta buku lima hari tersebut.

Malah hampir separuh daripada acara yang dijadualkan sepanjang pesta buku itu berlangsung akan dipenuhi dengan forum dan bengkel yang akan memperkatakan tentang dunia buku pada era digital.

Khabarnya, lebih 7,500 pempamer dari lebih 110 buah negara dari seluruh dunia termasuk Malaysia akan mengambil bahagian dalam pesta buku terbesar dunia itu.

Penerbit "Harry Potter" David Heyman dan penerbit filem "The King's Speech" Paul Brett termasuk aktor Hollywood, Rupert Everett khabarnya turut mengesahkan penyertaan mereka dalam salah satu forum yang akan diadakan pada pesta itu nanti.

Dan seorang lagi pengarah filem Hollywood, Roland Emmerich akan turut mempersembahkan filem terbarunya berjudul "Anonymous" yang akan menceritakan sama ada William Shakespeare benar-benar menulis semua kerja seninya yang menjadikannya popular di seluruh dunia dan akan turut mengambil bahagian dalam diskusi mengenai isu tersebut.

Artikel Lain