suria

Penganggur Didakwa Merogol Pada Hari Malaysia

SHAH ALAM: Seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas tuduhan merogol seorang gadis di bawah umur pada cuti am Hari Malaysia yang lalu.

Mohd Hanif Mohd Sobri, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut yang didakwa dilakukannya di sebuah taska kepunyaan ibunya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada antara pukul 5 dan 6 pagi, 16 September lalu terhadap mangsa berusia 14 tahun dan lima bulan yang hanya dikenalinya dua hari sebelum kejadian.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukannya di nombor 2, Jalan Arowana 4A, Taman Desa Ulu Yam Bharu, Batang kali, daerah Hulu Selangor, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Che Rohana Ismail mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Che Rohana menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh atas alasan kesalahan merogol merupakan satu kesalahan yang serius dan semakin kerap berlaku.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan untuk lantikan peguam dan penyerahan dokumen.

Artikel Lain