suria

Abang Teoh Beng Hock Gagal Peroleh Kebenaran Cabar Keputusan Suruhanjaya

KUALA LUMPUR: Abang kepada Teoh Beng Hock pada Selasa, gagal dalam permohonannya untuk medapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Siasatan Kematian yang memutuskan sebab kematian pembantu politik tersebut sebagai bunuh diri.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Datuk Rohana Yusuf menolak permohonan yang difailkan oleh Teoh Meng Kee selepas berpuas hati bahawa mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan semua keputusan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak boleh disemak semula.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu pada 13 September lalu yang melibatkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan bagi menyiasat klip video seorang peguam, Datuk V.K. Lingam yang didakwa sedang mengaturkan pelantikan hakim-hakim.

Pada prosiding itu, Meng Kee diwakili oleh peguam Gobind Singh Deo manakala lima responden yang dinamakan dalam permohonan tersebut diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Lima responden tersebut ialah Pengerusi Suruhanjaya itu, Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang juga Hakim Mahkamah Persekutuan diikuti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.S Nathan.

Turut dinamakan sebaga responden ialah Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Meng Kee, 35, memfailkan permohonan tersebut pada 24 Ogos lalu dan berdasarkan afidavit sokongannya, dia menyatakan sebarang keputusan bunuh diri tidak boleh dibuat secara anggapan tetapi mesti disokong oleh bukti dan dalam laporan itu tiada sebarang keterangan yang menunjukkan bagaimana Beng Hock meninggal dunia.

Permohonan tersebut difailkan selepas suruhanjaya tersebut pada 15 Jun lalu merumuskan bahawa Beng Hock yang merupakan pembantu politik kepada EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah mati kerana membunuh diri dengan terjun daripada pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009.

Berdasarkan laporan setebal 124 halaman, suruhanjaya tersebut juga mendapati tindakan Beng Hock itu didorong oleh soal siasat yang agresif, berlarutan, menindas dan keterlaluan yang dikenakan ke atasnya oleh pegawai-pegawai SPRM pada malam 15 Julai 2009 dan awal pagi keesokan harinya.

Artikel Lain