suria

Warga Indonesia Rasuah Polis Dipenjara 14 Hari, Denda RM10,000

SHAH ALAM: Rayuan seorang warga Indonesia gagal melembutkan Hakim Mahkamah Sesyen di sini apabila dia dihukum penjara 14 hari selepas mengaku salah memberi rasuah kepada seorang anggota polis, bulan lalu.

Hakim Asmadi Hussin yang memerintahkan hukuman terhadap David Masri bermula Rabu, juga memerintahkan supaya tertuduh membayar denda RM10,000 atau jika gagal, dipenjarakan selama dua bulan.

Beliau turut menolak permohonan David, 27, agar bayaran denda boleh dibuat secara ansuran bulanan, atas alasan tertuduh yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik itu adalah seorang warga asing.

Pada penghakimannya, Asmadi menasihatkan tertuduh supaya berfikir panjang sebelum membuat keputusan yang akhirnya memakan diri.

"Inilah yang dikatakan sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kesalahan rasuah begini semakin menjadi-jadi, dan semuanya melibatkan jumlah yang kecil.

"Setiap hari keluar dalam surat khabar dan media elektronik, tetapi tiada yang ambil sebagai pengajaran. Fikir dahulu sebelum apa pun yang mahu dilakukan," kata Asmadi.

Sepanjang prosiding berjalan, isteri tertuduh yang berada di galeri awam mahkamah menangis dan tangisannya semakin kuat selepas hukuman dijatuhkan.

Dia juga kelihatan sugul apabila melihat suaminya dibawa keluar oleh anggota polis mahkamah mengikut laluan khas tertuduh.

David didakwa atas tuduhan memberi suapan wang tunai RM150 kepada Koperal Firdaus Brohan, pada pukul 11.45 pagi, 20 September lalu di berhampiran Penjara Kajang, Jalan Saujana Impian - Kajang Perdana, Hulu Langat, dekat sini.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Firdaus tidak mengeluarkan saman ke atas tertuduh yang melakukan kesalahan memandu tanpa lesen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahamad Sukri Abu Seman mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, David yang tidak diwakili peguam berkali-kali merayu agar dirinya dikenakan hukuman paling ringan kerana telah insaf dengan kesalahan pertama yang dilakukannya.

Dia menambah, mempunyai tanggungan yang ramai sedangkan pendapatan yang diperolehnya sekadar cukup makan.

"Kalau boleh tolonglah ringankan hukuman saya Yang Arif, Yang Berhormat. Ibu dan bapa saya hanya petani, saya yang membantu menyekolahkan adik-adik saya.

"Saya telah berkahwin pada 2009 dan sehingga kini masih tiada rezeki untuk peroleh anak. Saya juga masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport yang sah," tambah tertuduh.

Mahamad Sukri pula memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan dapat menjadi pengajaran kepada tertuduh untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Artikel Lain