Akta Baru Gantikan ISA Beri Imbangan Hak Asasi Dan Kebebasan Sivil - Najib - Semasa | mStar

Akta Baru Gantikan ISA Beri Imbangan Hak Asasi Dan Kebebasan Sivil - Najib

KUALA LUMPUR: Dua akta baru yang akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bakal memberi perimbangan antara hak asasi individu, kebebasan sivil dan menjaga keamanan awam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah itu membolehkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dengan lebih baik dan dihormati oleh negara lain.

"Jentera kerajaan memang berdiri teguh dan menyokong tindakan kerajaan untuk batalkan ISA dan diganti dengan dua akta baru. Akta baru ini akan mengambil langkah untuk mencari perimbangan antara hak asasi individu, civil liberties dan jaga keamanan awam," katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di Parlimen di sini pada Isnin. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai instrumen atau undang-undang bagi membendung masalah yang sebelum ini diletakkan di bawah peruntukan ISA dan jaminan Perdana Menteri untuk memastikan jentera kerajaan dan perkhidmatan awam memberikan kerjasama kepada pemansuhan ISA.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) sama ada kerajaan bersedia menggunakan Akta Pemansuhan Darurat yang disediakan oleh Pakatan Pembangkang, Najib berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan proses penggubalan dua akta baru itu tidak lama lagi.

"Saya harap pembangkang jangan cuba ambil nama daripada langkah ini. Sebenarnya lembu punya susu tapi jangan ambil nama.

"Kita sudah umumkan perkara ini sejak 2009 lagi. Pemansuhan ISA ini bukan atas desakan Pakatan Rakyat tapi kehendak kerajaan BN sendiri. Jadualnya kita akan beritahu nanti sebab ada beberapa perkara yang harus dilakukan termasuk menggubal dua undang-undang yang baru dan proses konsultasi dengan beberapa pihak tertentu yang mewakili rakyat ramai," kata Najib.

Sementara itu ketika menjawab soalan asal Nanta mengenai strategi kerajaan untuk menyatupadukan rakyat negara ini, Najib berkata Gagasan 1Malaysia merupakan landasan penting dan tonggak utama kerajaan dalam usaha mengekalkan perpaduan erat di kalangan rakyat.

Katanya prinsip Gagasan 1Malaysia diterapkan dalam setiap inisiatif dan program kerajaan yang benar-benar mengambil kira hasrat dan keperluan rakyat.

"Bagi memupuk perpaduan, program menggalakkan integrasi telah dan akan terus dilaksanakan seperti sukan, program belia, Khidmat Negara dan di universiti, kursus hubungan etnik diwajibkan untuk semua penuntut.

"Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian di antara Penganut Agama (JMKPA) juga telah ditubuhkan sejak awal 2010 untuk merunding isu antara agama melalui mekanisme perundingan, dialog dan menyelesaikan isu-isu antara agama dan penganut agama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ana Dahlia, Hina Ke Jadi Janda?

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain