suria

Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Kes Dadah Mati Ditembak

KAJANG: Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Taman Impian, Balakong, dekat sini awal Ahad.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Abdul Rashid Abdul Wahab berkata lapan anggota termasuk seorang pegawai polis membuat serbuan di sebuah rumah kira-kira pukul 1 pagi selepas menerima maklumat tentang kegiatan pengedaran dadah di kawasan perumahan berkenaan.

"Ketika serbuan dibuat, lima suspek termasuk seorang wanita yang berada di perkarangan rumah tidak sempat melarikan diri dan berjaya diberkas polis, katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Dua lagi suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, sempat lari dan bersembunyi dalam sebuah bilik di rumah berkenaan," katanya, dan menambah polis kemudian membolos masuk ke dalam rumah sebelum mengarahkan mereka menyerah diri.

"Setelah hampir tiga jam kami memujuk mereka, hanya suspek wanita yang keluar menyerah diri manakala suspek lelaki enggan berbuat demikian, malah telah melepaskan tembakan ke arah anggota kami," kata Abdul Rashid.

Abdul Rashid berkata ia disusuli kejadian berbalas tembakan, dengan dua das tembakan mengenai tubuh suspek manakala tujuh das tembakan yang dilepaskan suspek ke arah anggota polis tersasar.

Lelaki berusia 34 tahun itu mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala enam yang lain berumur lingkungan 22 dan 47 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Abdul Rashid berkata polis menemui sepucuk pistol jenis Revolver .22mm, sepucuk Glock serta sepucuk pistol mainan yang disorok dalam bilik.

"Turut ditemui beberapa paket dadah jenis syabu, ganja dan heroin dengan anggaran berat lebih 200gm bernilai kira-kira RM5,000. Kami percaya ia untuk dijual di sekitar Kajang," katanya.

Turut dirampas ialah sebuah kereta Mercedes, sebuah kereta Mitsubishi Evo, beberapa bilah parang, beberapa kad pengenalan individu lain dan empat komputer riba. - BERNAMA

Artikel Lain