DEMI mengangkat seni dan kebudayaan Malaysia ke peringkat antarabangsa, penyanyi Rozita Rohaizad sanggup mengusung samping songket dan tanjak seberat 14 kilogram (kg) dari Malaysia ke Scotland untuk digayakan kepada pemuzik negara itu.
Menurut Rozita, pengorbanan tersebut dilakukan sempena penglibatannya buat kali kedua bersama kumpulan pemuzik Scotland iaitu The Melting Pot Collective (TMPC) dalam menjayakan Malaysia Food and Cultural Festival yang berlangsung di Pyramid Anderston, Glasgow.
“Ini kali kedua saya membuat persembahan diiringi pemuzik Scottish, The Melting Pot Collective Fusion Band. Sebagai tanda penghargaan atas kesudian mereka menyertai aktiviti diaspora Malaysia, saya menghadiahkan mereka set lengkap baju Melayu termasuk samping songket dan tanjak.

Rozita bersama pemuzik TMPC serta penonton yang hadir.
"Saya masukkan dalam bagasi besar dengan berat 14 kg dan bawa sepanjang perjalanan saya," katanya.
Lebih mencabar, Rozita mengakui perjalanan membawa bagasi besar berisi busana tradisional itu bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi dilakukan secara bersendirian.
“Saya heret beg besar itu sepanjang perjalanan melalui lapangan terbang, naik turun bas, berjalan di atas jalan berliku di Edinburgh dan Glasgow dalam suhu sekitar tiga darjah celsius serta angin yang sangat kencang. Nasib baik tak tumbang,” ujarnya.
Namun, segala kepayahan itu terbalas apabila melihat pemuzik TMPC tampil segak mengenakan busana tradisional Melayu ketika persembahan mereka pada 29 November lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Rozita Rohaizad Enggan Peduli Dicemuh Kerana Lagu 'Anak Ikan'
ARTIKEL BERKAITAN: Rozita Rohaizad Terkilan Tidak Diberi Peluang Nyanyikan Lagu Mariani
Tambahnya, penonton yang hadir merupakan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelajar serta pemegang pemastautin tetap di Glasgow.
“Pengorbanan itu sangat berbaloi. Mereka kelihatan cantik dan bersemangat menyanyikan lagu Bunyi Gitar karya Tan Sri P. Ramlee.
"Lebih membanggakan, apabila salah seorang anggota TMPC menyanyikan lagu tersebut membuatkan penonton bersorak begitu meriah,” katanya penuh syukur.
Dalam persembahan tersebut, Rozita turut menyampaikan beberapa lagu irama Melayu termasuk Joget Malam Pertama, Joget Budaya, Zapin Rinduan Kasih dan Keroncong Anak Ikan yang diiringi pemuzik Scotland itu.

Rozita lakukan persembahan dengan penuh semangat.
“Alhamdulillah, tercapai impian saya untuk membantu komuniti Malaysia di Glasgow dan sekali lagi berpeluang mempersembahkan lagu-lagu irama Melayu dengan iringan pemuzik luar negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rozita memberitahu dia akan meneruskan perjalanan ke Ireland, Birmingham dan Istanbul bagi melakukan persembahan di sana sebelum pulang ke tanah air.
“Saya akan menyambung rakaman lagu Inggeris berjudul Choose Me yang liriknya ditulis sendiri, selain menyiapkan sebuah lagu raya berkumpulan berjudul Gelak Tawa Raya yang diinspirasikan daripada karakter Labu dan Labi,” tambahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


