suria

Ezwan Zain tak tidur malam demi resepsi impian, Erra Fazira terharu pengorbanan suami... “Saya akan semat memori ini selama-lamanya”

Erra dan Ezwan mengadakan majlis resepsi kedua di sebuah hotel di Kuala Lumpur - Gambar IG Fiziwoo

PELAKON Erra Fazira meluahkan rasa terharu atas kesungguhan suami tercinta, Ezwan Zain yang bersusah payah merealisasikan majlis resepsi penuh indah di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada malam Sabtu.

Menghargai setiap usaha dan pengorbanan yang dilakukan, Erra dalam ucapannya memuji kesungguhan Ezwan selain berjanji untuk menjadi isteri terbaik.

"Saya puji suami saya Ezwan Zain kerana melakukan segala-galanya.Saya berasa bertuah di atas penat lelah, pengorbanannya yang tidak tidur malam semata-mata untuk majlis pada malam ini. Malah sehingga melangkah ke dalam dewan, dia masih lagi bimbangkan semua orang dan mahukan semua tetamu gembira.

"Saya akan semat memori ini selama-lamanya dan bimbinglah saya dengan baik. Saya ingin menjadi isteri yang baik buat awak," katanya.

Erra dan Ezwan diraikan penuh indah dalam majlis bertemakan When Two Worlds Collide. 

Sementara itu, Ezwan yang menganjurkan majlis resepsi bertemakan When Two Worlds Collide itu berkata, majlis itu dibuat dengan cukup istimewa khas buat isteri tersayang.

"Majlis ini dirancang khas untuk awak kerana awak layak diraikan dengan penuh kasih, keindahan dan ketenangan.

"Walaupun kita semua tahu perancangan perkahwinan memang menguji sedikit kesabaran, tapi Alhamdulillah Tuhan permudahkan semuanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Erra Fazira sah bergelar isteri Mr E, terima mas kahwin ‘sepohon’ emas

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bukan terdesak, Erra Fazira mahu teman hidup hingga akhir hayat… “Harap perkahwinan ini yang terbaik, terindah dan penutup”

"Terima kasih kerana memilih saya serta di atas kepercayaan, kesabaran dan kasih sayang diberikan. Saya berjanji kita akan terus bersama, belajar dan sentiasa berada di sisi awak.

"Saya mungkin tidak sempurna tetapi saja berjanji di hadapan semua yang hadir pada malam ini untuk menjaga amanah ini sebaiknya dengan membina rumah tangga yang sakinah dan mawadah," katanya.

Dalam masa sama, Ezwan turut membuat kejutan apabila menghadiahkan lagu bergenre broadway yang diciptakan khas buat isterinya berjudul Cinta Erra.

Senyuman bahagia Erra pada majlis resepsi yang dirancang khas oleh suami tercinta. 

Majlis resepsi itu dihadiri kira-kira 500 tetamu dan dihiburkan dengan persembahan daripada Noryn Aziz, Ning Baizura dan Sean Ghazi.

Antara tetamu yang hadir pada majlis itu ialah Datuk Yusof Haslam dan isteri, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Aznil Nawawi, Datuk Ziela Jalil, Datuk Nora Ariffin, Azwan Ali, Raja Azura, Lisdawaty, Norman Hakim, Linda Rafar, Diana Rafar dan ramai lagi.

Erra dan Ezwan selamat bernikah pada 12 Disember lalu di Kg Melayu Subang, Selangor.

Pasangan itu kemudian diraikan dalam satu majlis resepsi pada 13 Disember khusus buat keluarga dan rakan media dengan bertemakan klasik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain