JUARA Raise The Star Malaysia, Didie Shazry kini menikmati fasa baharu dalam perjalanan karier muzik apabila jadualnya semakin padat dengan pelbagai projek.
Didie atau E.D. Shazry Aman, 23, berkata dia teruja apabila menerima peluang untuk mengadakan persembahan jelajah di Indonesia bersama barisan artis terkenal negara itu.
Menurut Didie, konsert jelajah berkenaan dijadualkan berlangsung selama lebih sebulan bermula Januari 2026.

Didie teruja dapat peluang membuat persembahan di Indonesia.
"Alhamdulillah selepas tamat program Raise The Star, saya sedikit sibuk kerana menguruskan beberapa projek. Antaranya album yang akan dilancarkan tak lama lagi.
"Saya juga sekarang mempunyai persembahan tour di Indonesia bermula di Bali, Jakarta dan Surabaya. Saya akan membuat persembahan bersama artis-artis Indonesia seperti Nadhif Basalamah, Fajar Noor, Kunto Aji dan ramai lagi.
"Tour saya akan bermula pada 10 Januari hingga14 Februari 2026," katanya kepada mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Didie Shazry juara Raise The Star Malaysia, pertaruh single baharu karya Aina Abdul
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Juara Raise The Star Malaysia kongsi hadiah kemenangan RM30,000 dengan kakak… “Dia sanggup berhenti sekolah demi besarkan adik-adik”
Mengimbas kembali detik awal menerima tawaran tersebut, Didie berkata segalanya bermula ketika dia menghadiri festival muzik Pestapora di Indonesia pada Julai lalu.
"Sewaktu saya pergi Pestapora, saya tonton persembahan TokTi (panggilan Siti) dan berangan kalaulah satu hari nanti dapat buat persembahan di Indonesia.
"Selang dua minggu penganjur Pestapora hubungi saya menerusi mesej peribadi di Instagram dan memberi tawaran untuk menjayakan konsert tour di Indonesia," ujarnya.
Dalam pada itu, Didie mengakui lagu-lagu saduran nyanyiannya terhadap karya naib juara Indonesian Idol musim ke-13, Fajar Noor secara tidak langsung membuka peluang tersebut.
Meskipun berasa gementar, Didie menganggap peluang itu sebagai satu pencapaian besar dalam kerjaya seninya.

Didie merupakan juara pertama Raise The Star Malaysia.
"Sewaktu Fajar datang ke Malaysia saya memang ada banyak buat cover lagu dia. Katanya video cover saya trending di Indonesia.
"Tak dinafikan saya rasa gemuruh, namun dalam masa sama memang teruja bila dapat tawaran ini. Impian saya daripada kecil untuk buat persembahan bersama artis-artis Indonesia," katanya.
Pada 10 Ogos lalu, Didie diumumkan sebagai juara Raise The Star Malaysia (RTSM) sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai bernilah RM30,000 bersama sebuah trofi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


