KEHADIRAN pelakon popular Selatan India yang juga ahli politik, Vijay di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada malam Sabtu mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengumpulkan kira-kira 85,000 peminat.
Vijay, 51, yang juga mendapat gelaran Thalapathy hadir bertemu peminat sempena filem terbaharunya berjudul Jana Nayagan.
Jumlah penonton yang hadir itu melayakkan acara berkenaan diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) kerana mencatatkan bilangan kehadiran tertinggi.

Suasana meriah peminat menyambut kehadiran Vijay.
"Tahniah atas kejayaan mencatatkan rekod MBOR bagi penyertaan terbesar dalam pelancaran audio filem Tamil yang berlangsung di Malaysia," jelas satu hantaran yang dimuat naik oleh Instagram Astro Ulagam.
Menerusi laporan media, kesesakan lalu lintas juga berlaku sekitar Bukit Jalil bermula petang Sabtu disebabkan peminat mula berkumpul bagi menyaksikan idola mereka itu.
Pada acara itu, penganjur mengambil peluang mengimbau kembali lagu-lagu ikonik Vijay selain persembahan lagu baharu Jana Nayagan.
ARTIKEL BERKAITAN: Lewat 3 jam tiba di lokasi konsert, penyanyi Bollywood menangis dimaki peminat
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon terkenal pernah hidup melarat, enam bulan tak bayar bil elektrik
Vijay yang juga kini aktif dalam dunia politik bukanlah satu nama asing dalam industri perfileman Tamil di India.
Lakonannya sering menjadi perhatian ramai sehingga dia digelar pemimpin dalam kalangan peminat.
Difahamkan filem Jana Nayagan merupakan penglibatan terakhir Vijay sebagai pelakon sebelum beralih sepenuhnya ke dunia politik.
Jana Nayagan arahan H Vinoth dan diterbitkan oleh KVN Productions, dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde, Bobby Deol, Mamitha Baiju, Gautham Vasudev Menon, Prakash Raj, Narain dan Priyamani.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


