PENYANYI Sammy Simorangkir tidak dapat menyembunyikan rasa syukur apabila diberi peluang menjayakan konsert solo Sammy Simorangkir Live In KL Vol.1 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada malam Sabtu.
Dalam ucapannya kepada peminat, Sammy atau Hendra Samuel Simorangkir, 43, mengimbau kembali perjalanan seni yang bermula sebagai penyanyi kumpulan Kerispatih sebelum menyambung karier secara solo.
Kata Sammy, pengalaman pahit manis sepanjang pembabitan dalam bidang seni membentuk dirinya sebagai seorang penghibur sehingga ke hari ini.

Sammy (tengah) mengimbau memori nyanyian lagu bersama Kerispatih.
"Mungkin peminat sudah mengetahui tentang masa lalu saya pernah menjadi 'anak band' (berkumpulan), di mana saya berkarier bersama Kerispatih.
"Sampai saat ini pun kami masih sering bertemu. Kalau mengimbau masa lalu saya masih ingat peristiwa sedih, bahagia, bangga yang membuatkan saya sampai ke Zepp Kuala Lumpur (konsert solo).
"Saya bersyukur di saat umur sekarang saya masih mampu menghiburkan peminat di Kuala Lumpur," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Andmesh kembali ke Malaysia, janji kejutan istimewa di konsert ‘Love Story: Suara Dari Ketulusan Hati’
ARTIKEL BERKAITAN: My Chemical Romance tangguh konsert di Kuala Lumpur ke November 2026
Dalam pada itu, Sammy turut menyifatkan malam konsert itu sebagai sebuah perjalanan nostalgia yang membawa peminat menyelami kisah lalu bersama lagu-lagu nyanyiannya.
"Malam ini kita akan bercerita tentang masa lalu, baik sewaktu saya masih di dalam band (Kerispatih) atau bergerak secara solo.
"Ada beberapa lagu yang jarang saya bawakan secara langsung. Malam ini saya akan bawakan khusus buat peminat-peminat di Kuala Lumpur.

Sammy menhiburkan 17 buah lagu buat peminat.
"Sebelum berangkat dari Jakarta saya beritahu isteri sudah tidak sabar untuk ke Malaysia. Saya mahu bertemu dengan peminat," ujarnya.
Bertemakan Night Blooming with Roses & Love, Sammy Simorangkir Live In KL Vol.1 merupakan sebuah malam persembahan yang sarat dengan emosi, romantis dan penghargaan terhadap karya-karya cinta yang telah membentuk perjalanan seni Sammy.
Konsert ini disusun secara naratif melalui beberapa segmen utama bagi membawa penonton menyelami perjalanan emosi secara berperingkat.
Persembahan dibuka dengan tema Emotion menerusi Overture & Title, diikuti lagu-lagu malar segar Cinta Putih, Sedang Apa dan Di Mana serta Kaulah Segalanya.

Sammy teruja dapat menghiburkan peminat di Kuala Lumpur.
Segmen Hollow visual pula menampilkan Luka Yang Luas, Kau Harus Bahagia dan Tak Mampu Pergi, sebelum diteruskan dengan Acoustic Segment yang lebih intim melalui Rela Kehilangan, Kesedihanku dan Lagu Rindu.
Persembahan memasuki segmen Kerispatih: Tribute Legacy menerusi Demi Cinta, Tapi Bukan Aku, Mengenangmu dan Aku Harus Jujur, sebelum ditutup dengan tema Celebration melalui lagu Dia dan encore acapella bersama penonton menerusi Bila Rasa Ku Ini Rasamu.
Konsert yang bermula pada pukul 8.30 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi Mieska sebagai artis pembuka tirai yang menyampaikan lagu-lagu seperti Hilang Tanpa Bilang, Berat Rasanya dan Lintasan Yang Sama.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


