PELAKON Ameerul Asyraf memaklumkan anak keduanya, Naura Aurora kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang, Selangor selepas disyaki mengalami masalah kesihatan melibatkan sistem penghadaman.
Ameerul atau Ameerul Asyraf Mohammad, 34, berkata, Naura dijadualkan menjalani satu prosedur perubatan bagi mengambil sampel daripada bahagian punggung untuk mengenal pasti punca sebenar masalah yang dialami.
Kata Ameerul, setakat ini pihak perubatan masih belum dapat mengesahkan penyakit sebenar anaknya kerana masih dalam tempoh pemantauan.
"Esok (Isnin) anak saya akan menjalani prosedur ambil sampel daripada bahagian punggungnya. Doktor memang tunggu usianya sebulan baru buat prosedur itu.

Ameerul terpaksa menarik diri daripada set penggambaran drama demi anak.
"Buat masa ini saya pun tak tahu apa masalah sebenar penyakit anak saya ini kerana masih dipantau oleh doktor.
“Buat masa sekarang doktor beritahu anak saya mungkin mengalami masalah penyakit Hirschsprung iaitu keadaan najis terperangkap dalam perut dan sukar membuang air besar.
"Nanti selepas ambil sampel baru kami boleh tahu masalah sebenar penyakit anak saya ini," katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, isterinya iaitu Nurul Nasirah Khalid turut berkongsi detik awal yang membuatkan mereka mula menyedari keadaan luar biasa pada anak mereka sejak dilahirkan pada 27 November lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri bersalin anak perempuan, Ameerul Asyraf terlalu gembira sampai tak boleh tidur
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Patuh arahan pengarah, Ameerul Asyraf tetap lakon babak intim walau dilarang isteri
Menurut Nurul Nasirah, keadaan semakin ketara apabila perut anak mereka kelihatan semakin membesar dan mengeras.
"Sebenarnya sejak dia baru lahir dia tak buang air besar dalam tempoh masa 24 jam. Lebih 48 jam baru anak saya boleh buang air besar.
"Pada waktu itu, pihak hospital tak cakap apa dan kami dibenarkan pulang. Ada nampak juga perut anak saya berurat tapi saya hanya fikir positif saja dan tak ada apa-apa yang membimbangkan.
"Satu hari ketika suami saya shooting, saya dekat rumah tengok perut anak makin membesar dan urat pun makin banyak. Perut pun rasa keras," ujarnya.
Susulan situasi itu, Ameerul mengambil keputusan untuk menarik diri daripada penggambaran sebuah drama demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan anaknya.
"Disebabkan perkara ini saya terpaksa tarik diri daripada penggambaran drama. Saya tak boleh fokus dan daripada menyusahkan ramai pihak lebih baik saya undur diri.

Naura dilahirkan pada 27 November lalu.
"Lagi pun penggambaran baru saja bermula, jadi saya sangat bersyukur kerana seluruh tenaga produksi memahami keadaan saya.
"Sekarang ini memang saya mahu beri fokus untuk kesihatan anak saya ini," katanya.
Untuk rekod, Ameerul dan Nurul Nasirah mendirikan rumah tangga pada 22 Disember 2023.
Selain Naura, pasangan ini turut mempunyai seorang lagi cahaya mata perempuan Ammara Medina yang kini berusia 16 bulan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


