suria

Pidato 1Malaysia: Jabatan Penerangan Sasar Lebih Ramai Penyertaan

Ibrahim (empat dari kiri) dan timbalannya, Datuk Poziah Abdul Rahman (enam dari kiri) beramah mesra dengan para peserta pertandingan Pidato 1Malaysia yang mara ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Selasa. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.
Ibrahim (empat dari kiri) dan timbalannya, Datuk Poziah Abdul Rahman (enam dari kiri) 
beramah mesra dengan para peserta pertandingan Pidato 1Malaysia yang mara ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Selasa. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.
Ibrahim (empat dari kiri) dan timbalannya, Datuk Poziah Abdul Rahman (enam dari kiri) beramah mesra dengan para peserta pertandingan Pidato 1Malaysia yang mara ke peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur, Selasa. Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

KUALA LUMPUR: Jabatan Penerangan menyasarkan peningkatan bilangan peserta bukan Melayu dalam pertandingan Pidato 1Malaysia sebanyak dua kali ganda pada tahun hadapan berbanding 173 penyertaan tahun ini.

Ketua Pengarah Penerangan, Ibrahim Abdul Rahman berkata, sasaran tersebut dibuat berikutan sambutan yang diterima daripada masyarakat bukan Melayu dari seluruh negara pada pertandingan julung kali diadakan itu amat memberangsangkan.

"Kami yakin bilangan peserta dari golongan muda khususnya akan meningkat kepada dua kali ganda pada tahun depan dengan menawarkan pendekatan berbeza, bersesuaian dengan konsep Gagasan 1Malaysia," katanya pada sidang media selepas majlis memperkenalkan 15 pemidato yang mara ke peringkat kebangsaan di sini, Selasa.

Menurut Ibrahim, pertandingan yang diubahsuai daripada program Pidato Kenegaraan pada era 90-an itu bertumpu kepada golongan bukan Melayu dalam usaha meningkatkan kefasihan dan penguasaan Bahasa Malaysia di samping mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat berbilang bangsa.

"Penguasaan dan pembudayaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat bukan Melayu amat penting kerana ia merupakan asas kepada perpaduan yang akan menyemai semangat cintakan negara," jelasnya.

Ibrahim berkata, pertandingan itu terbuka kepada peserta bukan Melayu berusia 18 tahun ke atas daripada pelbagai latar belakang bagi melahirkan seorang pemidato yang handal dan berani berucap di khalayak ramai.

Seramai 15 peserta yang merupakan juara setiap negeri akan mempertaruhkan kehebatan masing-masing di peringkat kebangsaan yang akan diadakan selewat-lewatnya awal Julai ini.

Jelas Ibrahim, pertandingan peringkat negeri telah diadakan di seluruh negara pada April lalu dan mendapat penyertaan tertinggi daripada kaum Cina.

Johan peringkat kebangsaan akan menerima hadiah bernilai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.

Sementara itu, salah seorang peserta, Wee Hock Sen memuji usaha Jabatan Penerangan Malaysia menganjurkan pertandingan pidato kepada masyarakat bukan Melayu untuk memudahkan mereka memahami konsep Gagasan 1Malaysia dan dasar negara.

"Saya mengalu-alukan penyertaan lebih ramai peserta pada masa akan datang. Pertandingan ini bukan saja menekankan semangat perpaduan tetapi mengajar kita teknik menyampaikan idea secara bersahaja," ujarnya.

Selain itu, seorang lagi peserta, P. Selvi berkata, pertandingan itu menjadikan dirinya lebih yakin dan berani untuk melontarkan idea berkaitan isu pendidikan di negara ini.

"Menerusi pertandingan ini, saya dapat memperbaiki beberapa kelemahan terutama ketika sesi tayangan slaid kepada penonton. Berbekalkan pengalaman lalu, saya sudah bersedia untuk bertanding di peringkat kebangsaan," katanya yang juga seorang guru di sekolah swasta di Klang, Selangor.

Artikel Lain