suria

Bukan Dasar Kerajaan Dedah Nama Penerima Biasiswa

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat mendedahkan senarai penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun didesak pelbagai pihak kerana ia tidak akan menyelesaikan pertikaian berhubung pemberiannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, selain tidak menjadi dasar kerajaan mendedahkan senarai penerima yang layak, pendedahan itu juga bukan jaminan bahawa rakyat akan berpuas hati dengan keputusan yang dibuat kerajaan.

"Bukan menjadi dasar kerajaan untuk dedahkan nama-nama mereka yang layak menerima biasiswa.

"Kalau sekalipun kita umumkan nama-nama yang berjaya, ia tidak menjamin bahawa tidak ada lagi pertikaian...sebab itu pada saya, lebih baik kita beritahu kepada yang berjaya sahaja," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) mengenai keengganan kerajaan mendedahkan senarai nama penerima biasiswa JPA.

Isu pemberian biasiswa JPA ini timbul apabila banyak pihak mempertikaikan kaedah pemberiannya berdasarkan beberapa kriteria yang didakwa tidak telus.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata kerajaan komited dalam memastikan proses pemilihan pelajar yang layak menerima biasiswa JPA dilaksanakan secara telus dan teratur selaras dengan keputusan Kabinet pada 14 Januari 2009.

Artikel Lain