Anak Pegawai Khas ADUN Sukau Mati Ditikam

SANDAKAN: Anak lelaki seorang pegawai khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mati ditikam lelaki yang juga jiran keluarganya di Flat Majlis Perbandaran Sandakan, Karamunting dekat sini Sabtu malam.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Khir Hadari Awang, 6, dan dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, abang serta kakak mangsa iaitu Mohd Fadley Syarie, 12, dan Nur Salinah Sahira, 10, turut cedera ditikam lelaki berusia 25 tahun itu.

Bapa mereka, Awang Ahmad, 46, berkata Ahmad Khir meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan kira-kira 10 malam, manakala Mohd Fadley yang cedera parah masih menerima rawatan dan dalam keadaan stabil, sementara Nur Salinah sudah dibenarkan keluar.

Sebelum kejadian, Awang berkata semua anaknya itu berada di rumah bersama ibu saudara mereka, manakala beliau di pejabat dan isterinya di Sandakan atas urusan keluarga.

"Lelaki berkenaan, yang tinggal di tingkat satu, tiba-tiba masuk ke dalam rumah kami yang terletak di tingkat dua bangunan sama, lalu bertindak menikam tiga anak saya menggunakan sebilah pisau dan kemudian terus melarikan diri," katanya yang juga bekas wartawan New Sabah Times, sebuah akhbar tempatan di negeri ini, ketika ditemui.

Awang, yang kini pegawai khas Adun Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman, berkata keluarganya terkejut dengan insiden itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Superintenden Fadzil Mohd Noor berkata suspek berjaya ditahan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

Artikel Berikut

10 Laman Web Disekat - MCMC

Artikel Lain