suria

Zulkifli Dilantik Panglima Tentera Darat Yang Baru

KUALA LUMPUR: Jeneral Datuk Zulkifli Zainal Abidin dilantik sebagai Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) yang baru menggantikan Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin yang dinaikkan pangkat sebagai Panglima Angkatan Tentera.

Kedua-dua pelantikan itu berkuat kuasa pada Rabu.

Zulkifli yang sebelum ini merupakan Timbalan Panglima Tentera Darat telah ditauliahkan ke dalam Regimen Askar Melayu Diraja pada 5 Jan, 1978 selepas menamatkan latihan pegawai kadet di Maktab Tentera Diraja.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan upacara serah tugas di auditorium Kementerian Pertahanan di sini, Selasa.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin. Azizan akan menamatkan tugasnya esok selepas berkhidmat dalam angkatan tentera selama 41 tahun.

Zulkifli merupakan lulusan Diploma Lanjutan Perniagaan dan Pentadbiran (Kepujian) dari Swansea Institute of Higher Education, University Of Wales yang diperolehnya pada 1995 dan ijazah Sarjana Pentadbiran dari Asian Insitute of Management, Manila Filipina yang diperolehnya pada 1998 Sementara itu, dalam ucapannya Zulkifli berkata Tentera Darat perlu menggembleng lagi usaha bagi memacu angkatan itu supaya bertindak sebagai 'Capacity Builders' untuk kerajaan.

"Perkembangan spektrum tanggungjawab di dalam landskap geo-strategik global memerlukan tentera darat bersedia untuk menangani ancaman tradisional.

"Ini memerlukan kepimpinan yang jitu serta sebuah angkatan yang berwibawa, versatil dan berketentuan.

"Ini merupakan iltizam saya serta tentera darat untuk memenuhi aspirasi masyarakat," katanya.

Katanya bagi mendukung Pelan Transformasi Kerajaan, tentera darat tetap akan memperkasakan lagi kelakuan organisasinya, mengukuhkan nilai tradisi serta menumpukan kapasiti di dalam mencapai matlamatnya. -BERNAMA

Artikel Lain