suria

Papa Tak Balik, Orang Jahat Dah Culik - Nur Athirah, 4

PETALING JAYA: Nur Athirah Nazarudin, 4, - anak bongsu ahli perniagaan Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Jolo, selatan Filipina minggu lalu tahu bapanya tidak akan pulang buat masa ini kerana 'orang jahat telah menangkapnya'.

"Saya kesian pada anak-anak. Setiap kali mereka tanya mana papa (Nazarudin Saidin), saya cakap papa kerja nanti dia balik.

“Tapi anak saya yang bongsu saya bijak dia kata, ibu tipu. Papa dah kena culik dengan orang jahatkan? Macam mana dia nak balik ibu,” kata anak kecil itu dalam nada sebak kepada ibunya, Mazlina Mohamad, 38.

Demikian cerita Mazlina kepada mStar Online sebagai mengulas perkembangan terkini kes suaminya yang didakwa diculik di selatan Filipina, sejak 8 Mei lalu.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, ahli perniagaan itu menjadi diculik berpunca daripada keinginannya bertemu dengan penjual cicak tokek, yang hanya dikenali sebagai Ghafar , di di selatan Filipina.

Nazarudin, 38, bapa kepada enam orang cahaya mata ini dilaporkan diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata ketika berada di selatan Filipina ketika dia sedang menguruskan pembelian cicak tokek di negara tersebut. ‘

Kumpulan penculik itu didakwa meminta wang pendahuluan tebusan berjumlah 5 juta Peso (RM348, 317) yang perlu dijelaskan segera jika mahu Nazarudin dibebaskan.

Mangsa yang baru beberapa bulan bergiat aktif dengan perniagaan cicak tokek dikatakan sanggup mengeluarkan wang simpanannya berjumlah, RM4,500 untuk pergi ke Filipina untuk bertemu dengan Ghafar.

Bagaimanapun selepas berlepas ke Filipina pada 27 April lalu, Nazarudin ada menelefon sahabatnya yang dikenali sebagai Ali memaklumkan dia tidak menemui cicak tokek milik Ghafar kerana ia berada di pergunungan Pulau Jolo.

Pada 8 Mei lalu, keluarga mangsa dimaklumkan Nazarudin telah diculik oleh kumpulan bersenjata di selatan Filipina dan mereka meminta wang tebusan sebagai ganjaran untuk melepaskannya.

Jumaat lalu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan, dilaporkan berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di Filipina berhubung kes penculikan Nazarudin.

Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Mindanao, sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Polis Nasional Filipina (PNP) untuk mendapatkan maklumat terperinci dan perkembangan terkini mengenai kes penculikan itu.

Dalam pada itu, Mazlina berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat serta membebaskan suaminya.

“Setiap hari saya berdoa semoga, Abang (Nazarudin) segera dibebaskan.

“Saya dah buat laporan di Balai Polis Sungai Plong, Kuang, Selangor pada pukul 3 petang semalam. Saya serahkan semuanya kepada pihak polis untuk menyiasat perkara ini.

“Saya tak dapat nak komen lebih-lebih kerana kes ini dalam siasatan polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Mazlina berkata dia sangat sedih dan bimbang akan keselamatan suaminya namun yakin pihak polis dapat membebaskan Nazarudin serta menangkap penjenayah terbabit segera.

Mengenai wang tebusan yang diminta oleh penculik, Mazlina berkata sehingga kini, dia tidak pernah menerima sebarang panggilan telefon meminta wang tersebut.

“Setakat ini saya tidak pernah dapat apa-apa panggilan. Mereka (penculik) pernah menghubungi kawan abang sahaja.

“Kawan abang pun dah beri keterangan pada polis semalam,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain