suria

4,000 Rakyat Miskin Tegar Dan Miskin Disasar Sertai Projek Azam Tani

ALOR GAJAH: Seramai 4,000 rakyat miskin tegar dan miskin di seluruh negara disasarkan untuk menyertai projek Azam Tani tahun ini, bagi meningkatkan pendapatan seterusnya membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata di bawah projek itu, pihaknya akan memberikan bantuan berbentuk projek peningkatan ekonomi bernilai RM10,000 kepada setiap peserta.

"Aktiviti yang terlibat di bawah program itu adalah projek berasaskan tanaman, ternakan, perikanan, pemprosesan, perniagaan hasil tani dan kemudahan pemasaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Alor Gajah di Selandar dekat sini, Ahad.

Noh berkata pada tahun lepas, seramai 4,000 orang dari golongan tersebut terlibat dalam projek Azam Tani di mana di antara mereka berjaya meningkatkan pendapatan daripada RM450 sebulan kepada RM2,000 sebulan.

Beliau berkata peserta yang terlibat dipilih daripada senarai e-Kasih yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Terdahulu semasa berucap, Noh yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain, perlu kerap menemui rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan membantu menyelesaikannya.

Beliau berkata pemimpin yang sentiasa dekat dengan rakyat akan membantu mengembalikan sokongan pengundi kepada BN. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain