suria

Dua Kumpulan Curi Motosikal Tumpas Dalam Ops Lejang Bersepadu

KANGAR: Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan mencuri motosikal dikenali sebagai "Sempering" dan "Dokeh" dalam Ops Lejang Bersepadu yang dilancarkan sejak 1 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Mohd Nashir Ya berkata, 12 suspek berumur antara 17 dan 27 tahun daripada dua kumpulan itu telah diberkas dalam operasi itu setakat Khamis lalu.

Operasi berkenaan akan diteruskan sehingga 30 Jun ini.

"Dengan tumpasnya dua kumpulan ini, polis percaya dapat menyelesaikan 33 kes curi motorsikal yang dilaporkan di kawasan Arau dan Kangar, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis di sini, Sabtu.

Ops Lejang Bersepadu itu turut disertai pegawai dan anggota daripada semua jabatan di IPK Perlis dan dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Ikatan Relawan Malaysia (Rela) dan Rukun Tetangga.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihak polis merampas empat buah motosikal jenis Honda EX5, tiga rangka motosikal jenama sama dan peralatan digunakan untuk mencuri motosikal iaitu kunci "L".

Mohd Nashir berkata, kumpulan-kumpulan itu dipercayai membuang rangka motosikal dalam sebatang sungai di Tambun Tulang dan pihak polis akan mendapatkan rangka tersebut dengan bantuan Jabatan Bomba dalam masa terdekat ini.

Kesemua suspek yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri motosikal atau kenderaan, Seksyen 414 KK kerana melupuskan barang curi dan Seksyen 413 KK kerana menjual barangan curi.

Katanya, walaupun kedua kumpulan itu telah ditumpaskan, namun polis masih memburu lima lagi anggota kumpulan Sempering dan seorang anggota kumpulan Dokeh yang masih bebas untuk membantu siasatan.

Ops Lejang Bersepadu itu adalah sebahagian inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membanteras kegiatan curi motosikal kerana kegiatan tersebut penyumbang tertinggi jenayah di Perlis. Beliau berkata, sepanjang Januari hingga April lalu, sebanyak 441 kes jenayah indeks dilaporkan dan 138 atau 31. 29 peratus daripada jumlah itu membabitkan kegiatan curi motosikal.

"Sepanjang 2010, sebanyak 1,069 kes jenayah indeks dilaporkan di Perlis dan 416 kes atau 38.91 peratus kes curi motosikal menyumbang kepada keseluruhan jenayah indeks di negeri Perlis," katanya.

Mohd Nasir berkata antara punca kecurian motorsikal ialah kegagalan pemilik menjaga harta benda dengan sempurna selain termasuk tidak memasang kunci tambahan pada kenderaan itu. -BERNAMA

Artikel Lain