suria

Bekas Kakitangan Adun Sena Didakwa Ditipu 52 Pembeli Rumah

KANGAR: Seramai 52 bakal pembeli rumah di sini mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang bekas kakitangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, yang menjanjikan akan membantu mempercepatkan proses pembelian unit rumah.

Kesemua mangsa menyedari mereka ditipu setelah lelaki berusia 57 tahun itu tidak muncul pada majlis penyerahan kunci dan menguruskan dokumen perumahan di Dewan 2020 di sini, Jumaat.

Malah, lelaki itu dikatakan sudah mengambil wang cagaran daripada pembeli terbabit dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) minggu lepas kepada pembeli sudah hadir di dewan berkenaan.

Kesemua mangsa sudah menempah unit kediaman di tiga buah projek perumahan kos rendah dan sebuah pangsapuri iaitu di Taman Santan 2, Taman Tambun Tulang, Taman Jeliti dan Pangsapuri Sena.

Selepas menunggu lebih dua jam di dewan berkenaan, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar pada pukul 11 pagi tadi.

Seorang mangsa, Hamzah Bidi, 55, dari Kuala Kedah, Kedah, berkata, beliau bersama isteri dan anaknya datang ke Dewan 2020 pada pukul 8.30 pagi setelah menerima SMS daripada suspek pada minggu lalu supaya hadir menerima kunci.

"Sebaik saja saya sampai, saya melihat tiada sebarang majlis seperti yang didakwa lelaki itu tetapi hanya ada beberapa khemah kosong saja," katanya mendakwa majlis penyerahan kunci akan diserahkan oleh seorang wakil rakyat.

Katanya beliau cuba menelefon lelaki itu namun panggilan tidak dijawab menyebabkan beliau mula sangsi lalu terus ke rumah lelaki itu di Pangsapuri Sena untuk mendapatkan penjelasan namun lelaki itu tiada di rumah.

Hamzah mendakwa mengenali suspek kira-kira tiga tahun lalu dan lelaki itu berjanji untuk mendapatkan rumah untuknya di Perlis dengan harga RM38,000 bagi seunit rumah lot tepi di Taman Santan 2 dan meminta deposit RM1,100 yang dimasukkan dalam akaunnya.

Katanya beliau mempercayainya kerana lelaki itu pernah mendakwa pernah bekerja dengan ADUN Sena, Abdul Jamil Saad, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Abdul Jamil, yang ditemui di Balai Polis Kangar, mengakui lelaki itu pernah bekerja dengannya sebagai kakitangan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Sena tiga tahun lalu tetapi telah berhenti kerja. -BERNAMA

Artikel Lain