suria

Tujuh Sekeluarga Ditahan Berhubung Kes Tetak Dan Rompak Stesen Minyak

JOHOR BAHARU: Seorang pemandu teksi dan kesemua enam anggota keluarganya ditahan polis berhubung kes kejadian tetak, membawa senjata berbahaya di tempat awam dan merompak stesen minyak di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan Asisten Komisioner (ACP) Zainuddin Yaacob berkata tujuh sekeluarga itu ditahan polis pada kira-kira 2.05 petang di Taman Pelangi selepas berjaya dipujuk oleh polis supaya menyerah diri.

Katanya insiden bermula dengan kejadian seorang lelaki berusia 25 tahun ditetak di kepala dengan sebilah pedang oleh bapa saudaranya yang berusia 49 tahun di rumah bapa saudaranya di Bandar Baru Permas Jaya pada 9 malam, Jumaat lalu.

Mangsa yang menerima empat jahitan membuat laporan polis pada 12.05 tengah hari semalam, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Bertindak atas laporan itu, polis telah pergi ke rumah suspek namun mendapati suspek yang bekerja sebagai pemandu teksi telah membawa isterinya yang berusia 37 tahun, bayi perempuan 16 bulan serta empat anak lelaki masing-masing berusia lapan, 12, 14 dan 15 tahun menaiki teksi menghala ke Bandar Baru Permas Jaya.

Katanya kereta peronda polis yang mengekori teksi itu melihat suspek dan anggota keluarganya melibas-libaskan beberapa bilah pedang melalui tingkap yang terbuka.

Beliau berkata teksi itu kemudiannya berhenti di sebuah stesen minyak di mana suspek dan dua anaknya yang bersenjatakan pedang telah masuk ke stesen itu dan menyamun empat bungkus rokok dan coklat manakala anak lelaki suspek yang berusia lapan tahun berjaga di luar kedai dengan bersenjatakan sebilah parang.

Polis telah cuba memujuk keluarga tersebut untuk menyerah diri agar tiada siapa dicederakan namun tidak diendahkan malah cuba menyerang polis sebelum teksi itu beredar, katanya.

Namun kenderaan mereka berjaya dihentikan oleh polis di Jalan Pasir Pelangi, Taman Pelangi sebelum mereka ditenangkan dan berjaya dipujuk untuk menyerah diri.

Zainuddin berkata polis merampas enam bilah pedang, sebilah pisau sayur dan sebatang cotar daripada keluarga tersebut. Katanya siasatan mendapati pemandu teksi dan dua anak lelakinya itu telah merompak barang makanan, minuman dan lima bungkus rokok dari stesen minyak yang sama pada 1.30 petang, Jumaat lalu.

Kesemua suspek yang tidak mempunyai kes jenayah lampau disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 324 kanun yang sama kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat.

Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 353 kanun yang sama kerana menggunakan kekerasan bagi menakutkan penjawat awam daripada melaksanakan kewajipan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda; Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda; serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana membawa senjata berbahaya di tempat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain