suria

Tiga Tentera Terbunuh Dalam Kemalangan Di Jalan Seremban-Port Dickson

SEREMBAN: Tiga anggota tentera terbunuh manakala seorang wanita cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Batu 7, Jalan Seremban-Port Dickson, berhampiran Kampung Bemban dekat sini, Sabtu.

Pegawai Turus Trafik negeri Asisten Supritendan (ASP) Halil Hamzah ketika dihubungi berkata kemalangan berlaku kira-kira 3.45 pagi ketika kereta mangsa yang sedang menuju ke Port Dickson, terbabas ke laluan bertentangan di satu selekoh di jalan itu lalu bertembung dengan lori tangki minyak yang sedang menghala ke bandar ini.

Mangsa yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di seluruh badan dikenali sebagai pemandu kereta Zulhelmi Ismail, 25, dari Gurun, Kedah; penumpang sebelah pemandu Muhammad Afdhaluddin Azhari, 22, dari Nibong Tebal, Pulau Pinang; dan Izzat Badry Badahruddin, 24, dari Klang, Selangor.

Ketiga-tiga mangsa yang masih bujang adalah dari Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED), Port Dickson. Mayat mereka dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini untuk bedah siasat.

Seorang lagi penumpang kereta itu, Nik Nor Shima Abu Kasim, 19, dari Sungai Buloh, Selangor yang cedera parah, merupakan pelajar Politeknik Port Dickson dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HTJ.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jenazah mereka dituntut oleh anggota keluarga di bilik mayat HTJ untuk dikebumikan di kampung masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain