suria

AS Hina Islam Kebumi Osama Di Laut

SEPANG: Tindakan Amerika Syarikat (AS) mengebumikan pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden di laut merupakan satu penghinaan kepada umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, perbuatan itu tidak wajar dilakukan dan bertentangan mengikut ajaran Islam.

"Kita tahu jenazah perlu diuruskan dengan cara sewajarnya. Sebagai umat Islam, kita merasai perkara seperti itu tidak patut dilakukan.

"Zaman umat Islam menunaikan haji dengan menaiki kapal dulu, betullah jenazah dilepaskan ke dalam laut. Namun pada hari ini, jenazah sepatutnya dikebumikan di darat," katanya pada sidang media khas sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Mekah, Arab Saudi, Jumaat.

Jamil Khir berkata, jenazah perlu dihormati dan diuruskan dengan cara terhormat.

Perancang utama kejadian serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia AS pada 11 September 2001 itu maut dalam satu operasi ketenteraan yang diketuai negara itu di bandar Abbottabat, kira-kira 100 kilometer di utara Islamabad.

Sejak kejadian menyayat hati itu, Osama dianggap sebagai penjenayah paling dikehendaki dan pelbagai usaha dilakukan untuk memburunya sebelum dia terbunuh dalam serangan di Pakistan pada Isnin.

Jenazah Osama dikebumikan di utara Laut Arab dari atas geladak kapal pengangkut pesawat milik AS, USS Carl-Vinson selepas jenazah itu dimandikan dan dilaksanakan mengikut cara Islam pada Rabu.

Bagaimanapun, perbuatan AS itu menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak.

Artikel Lain