suria

362 Kes Demam Denggi Dengan Satu Kematian Bagi Tempoh 24-30 April

KUALA LUMPUR: Sebanyak 362 kes demam denggi dengan satu kematian telah dilaporkan sepanjang tempoh seminggu mulai 24 hingga 30 April lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkatamangsa seorang lelaki berusia 48 tahun meninggal dunia disebabkan 'sindrom kejutan denggi' selepas seminggu dijangkiti denggi.

"Mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sekitar Selangor juga pesakit tekanan darah tinggi dan pembawa Hepatitis B," katanya dalam satu kenyataan media di sini, Khamis.

Beliau berkata secara keseluruhannya, kes kematian akibat demam denggi menurun di mana terdapat 12 kematian bagi tahun ini berbanding 56 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Dr Hasan berkata pada minggu lepas, terdapat dua lokaliti kawasan panas iaitu di Apartment Sri Cempaka Seksyen 16 Bandar Bangi, di daerah Hulu Langat dan Las Palmas Apartment Bandar Country Homes di daerah Gombak.

"Sebagai usaha meningkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti pencegahan demam denggi, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 961 aktiviti ceramah dan sebanyak 1.17 juta keping risalah telah diedarkan di seluruh negara," katanya.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata tiada kes dilaporkan untuk tempoh 24 hingga 30 April lepas.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya ialah 14 kes, penurunan sebanyak 97 peratus berbanding dengan 541 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun lepas. BERNAMA

Artikel Lain