suria

ATM Tolak Kebarangkalian Kekacauan Akibat kematian Osama

KUALA LUMPUR: Kematian pemimpin kumpulan Al-Qaeda, Osama bin Laden, tidak mungkin membawa kepada kekacauan di rantau ini, kata Panglima Angkatan Bersama Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badarudin.

Bagaimanapun, katanya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia untuk menghadapi cabaran jika berlaku perkara tidak diingini.

"Kita telah mengambil langkah berjaga-jaga daripada keselamatan," katanya kepada BERNAMA di sini, Jumaat.

Terdahulu Ahmad Kamarulzaman hadir pada majlis Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan pembubaran Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia 1 (MALCON ISAF 1) di Hospital ATM di sini, Jumaat.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan anugerah kepada sembilan pegawai dan 31 anggota berlainan pangkat diketuai Lt Kol Norazan Omar, yang telah mengharumkan nama negara di serantau dunia.

Ahmad Kamarulzaman memuji anggota-anggota pasukan itu yang bertugas selama enam bulan dari 15 Julai 2010 sehingga 29 April 2011 di Afghanistan.

Katanya mereka perlu menjalankan misi selama 30 hari secara berterusan di Afghanistan dan penugasan yang dilaksanakan menjurus kepada bidang perubatan yang meliputi khidmat kesihatan, pergigian dan bantuan kemasyarakatan.

Misi MALCON ISAF 1 adalah bagi memenuhi jemputan kerajaan Afghanistan untuk membantu negara itu dalam memulihkan keamanan dan pembangunan keupayaan semula khususnya di wilayah Bamian.

"Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diklasifikasikan bukan negara ahli Nato bertugas di Afghanistan dan misi kontinjen ATM lebih tertumpu kepada melaksanakan khidmat kesihatan kemasyarakatan dan program latihan, mentoring dan penyeliaan kepada petugas kesihatan awam," kata ahmad Kamarulzaman.

Pada 26 April lepas, seramai 40 anggota MALCON ISAF 2 pula berlepas ke Afghanistan untuk bertugas bagi tempoh enam hingga sembilan bulan bersama Pasukan Pembangunan Semula Wilayah dari New Zealand.

Sjn Haslinda Masirom, seorang daripada tujuh wanita dalam pasukan MALCO NISAF 1, berkata selain bantuan perubatan, mereka juga memberikan pelbagai latihan kepada masyarakat setempat mengenai cara memberi pertolongan cemas.

Katanya mereka telah memberi bantuan dan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 50 pesakit sehari.

Artikel Lain