suria

ANALISIS: Mungkinkah Pilihan Raya Umum S'pura Bakal Catat Sejarah?

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang layak mengundi akan mengundi dalam pilihan raya umum republik ini, Sabtu.

Singapura diperintah oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sejak 1959. Pada pilihan raya umum 2006, PAP meraih 66.6 peratus undi dan menguasai 82 daripada 84 kerusi parlimen.

Jumaat telah diisytiharkan sebagai hari bertenang di mana parti politik atau calon masing-masing tidak dibenarkan berkempen.

Bagaimanapun, berita politik boleh disiarkan melalui televisyen, di samping laporan tentang pilihan raya umum itu.

Ini termasuk rakaman temu bual dan ringkasan mengenai kempen yang yang dijalankan.

Daripada kira-kira 5 juta penduduk Singapura, 2.35 juta layak mengundi, kebanyakan mereka merupakan pengundi kali pertama.

APA KATA PENGANALISIS DAN PEMERHATI?

Pilihan raya umum kali ini dianggap paling menarik dalam sejarah Kota Singa ini kerana untuk julung kalinya, PAP, yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menghadapi cabaran paling sengit daripada pembangkang.

Lee, yang menyandang jawatan perdana menteri sejak 2004, akan menerajui parti itu untuk kali kedua bagi menghadapi pilihan raya umum selepas pilihan raya 2006.

Menteri Mentor, Lee Kuan Yew pula awal-awal lagi sudah menang tanpa bertanding.

Pilihan raya umum kali ini mempunyai jumlah terbanyak kerusi yang menyaksikan pertandingan sejak merdeka apabila 82 daripada 87 kerusi, menyaksikan pertandingan.

Rekod pasca merdeka sebelum ini dicatat pada 1972 apabila 87.7 peratus kerusi ditandingi (atau 57 daripada 65 kerusi), manakala semua kerusi menyaksikan pertandingan dalam tiga pilihan raya umum sebelum merdeka.

Tanjong Pagar merupakan satu-satunya kawasan yang tidak pernah menyaksikan pertandingan sejak ia diwujudkan pada 1991.

PARTI YANG BERTANDING

Selain PAP, parti politik utama yang meletakkan calon pada pilihan raya ini ialah Parti Pekerja pimpinan Low Thia Khiang, Parti Reformasi pimpinan Kenneth Jeyaretnam dan Perikatan Demokratik Singapura pimpinan Chiam See Tong, yang dianggotai Partubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Parti lain termasuk Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan parti Demokratik Singapura (SDP).

Sebanyak 87 kerusi menjadi rebutan pada pilihan raya umum kali ini dan sejumlah 782 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 12 jam kemudiannya.

Kira-kira 16,000 pegawai ditugaskan mengendalikan pilihan raya umum kali ini. - BERNAMA

Artikel Lain