suria

Zaman SNAP Sudah Berakhir

MIRI: Zaman kegemilangan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) telah berakhir dan penyokong mereka perlu menyedari bahawa parti itu bukan lagi sebuah wadah politik yang boleh dipercayai, kata Naib Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Sylvester Entri Muran Ahad.

Beliau berkata selepas kalah teruk dalam pilihan raya negeri baru-baru ini, yang menyaksikan 25 daripada 26 calonnya hilang wang pertaruhan, SNAP perlu berundur daripada politik.

"Ini menunjukkan rakyat kini tidak lagi menyokong SNAP. Bagi saya, SNAP patut tutup kedai saja," katanya kepada pemberita ketika mengulas mengenai tindakan parti pembangkang itu untuk keluar daripada pakatan bersama DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Entri, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DU NMarudi dalam pilihan raya 16 April lepas, mencatatkan kemenangan besar ke atas Presiden SNAP Edwin Dundang Bugak, calon PKR Gerang Dagom dan seorang calon bebas Michael Ding Tuah dengan memperoleh 4,578 undi.

Dundang pula hanya meraih 281 undi dan hilang wang pertaruhan.

Dalam tindakan terbarunya, SNAP mengumumkan bahawa parti itu akan meninggalkan pakatan pembangkang selepas merasakan mereka telah diketepikan.

Sebelum langkah itu diambil, parti berkenaan dikatakan dipelawa oleh DAP untuk bergabung dalam usaha pembangkang untuk bertapak di kawasan majoriti Dayak.

Sebelum pilihan raya Sarawak, SNAP turut dikaitkan dengan pembentukan Barisan Borneo Bersatu (UBF) yang membabitkan beberapa pemimpin pembangkang Sabah.

Parti itu juga bertegang leher dengan PKR berhubung pembahagian kawasan untuk ditandingi mereka dalam pilihan raya negeri itu.

Entri, yang juga Menteri Muda Pembangunan Tanah dan Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, berkata keputusan yang dibuat oleh SNAP sejak beberapa tahun kebelakangan hanya menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai prinsip yang sewajarnya.

"Mereka terus bermain dengan sentimen selaku parti paling tua (di Sarawak) dan sebuah parti yang bersejarah tetapi ini tidak diterima dengan baik oleh penduduk Sarawak," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zaman SNAP Sudah Berakhir

Artikel Lain