suria

Rakyat Singapura Mengundi Hari Ini

SINGAPURA: Rakyat Singapura mula mengundi di 782 stesen mengundi yang dibuka seawal pukul 8 pagi ini, dalam apa yang dilihat sebagai pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara itu.

Kumpulan muda Singapura mewakili bahagian penting dalam 2.35 juta pengundi kali ini, dalam pilihan raya yang menyaksikan parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) berhadapan dengan cabaran getir buat pertama kali, apabila parti itu dicabar dalam 82 daripada 87 kerusi yang ditandingi.

Selain PAP yang diterajui oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong, lain-lain parti politik yang bertanding ialah Parti Pekerja pimpinan Low Thia Khiang, Parti Reformasi pimpinan Kenneth Jeyaretnam dan Perikatan Demokratik Singapura pimpinan Chiam See Tong, yang dianggotai Partubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) dan Parti Rakyat Singapura (SPP).

Parti lain termasuk Parti Perpaduan Nasional (NSP) dan parti Demokratik Singapura (SDP).

Selasa lepas dalam satu tindakan yang boleh dianggap jarang sekali berlaku, Lee memohon maaf kepada rakyat Singapura terhadap sebarang kesilapan yang dilakukan kerajaan.

Bapa Lee, Menteri Mentor Lee Kuan Yew awal-awal sudah menang tanpa bertanding. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain