suria

Bayi Perempuan Ditemui Berhampiran Tanah Perkuburan Di Setapak

KUALA LUMPUR: Seorang bayi perempuan, yang tubuhnya masih bersalut darah dan bersama uri, ditinggalkan di kawasan rumput berhampiran Tanah Perkuburan Islam Danau Kota, Setapak di sini, Sabtu.

Bayi itu, yang dibalut dengan kain batik dan tuala biru, ditemui sepasang suami isteri yang kebetulan melalui kawasan itu pukul 7.30 pagi sebelum mereka menghubungi polis.

"Bayi itu berkulit cerah dengan berat 2.35 kg dan keadaannya sihat. Polis percaya ia dilahirkan tidak kurang dari 3 jam sebelum ia ditemui," kata Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner (ACP) Zakaria Pagan melalui khidmat pesanan ringkas.

Beliau berkata bayi itu kini ditempatkan di Wad Bersalin Hospital Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut.

"Kita masih belum pasti bangsa bayi itu. Polis sedang berusaha menjejaki individu yang bertanggungjawab membuang bayi itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki menanam bayi perempuannya yang telah mati di Kampung Ulu Gumut, Kuala Kubu, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Kubu Baru Supritendan Norel Azmi Yahya ketika dihubungi berkata Aldor Molan, 26, direman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan itu.

"Bagaimanapun pasangan suspek yang juga merupakan ibu kepada bayi terbabit tidak dapat dikesan dan dipercayai telah melarikan diri ke kampung halamannya di Indonesia," katanya.

Bayi yang ditanam itu ditemui pukul 9 malam pada Khamis lepas setelah polis mendapat maklumat daripada penduduk di situ.

"Mayat bayi itu telah diserah kepada pihak Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui motif mengapa bayi itu ditanam," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi. - BERNAMA

Artikel Lain

Ibu Ziana, Anuar Zain meninggal dunia