suria

92 Pendatang Asing Lari Dari Depoh Lenggeng Berjaya Ditangkap Semula

PUTRAJAYA: Seramai 92 daripada 109 pendatang asing tanpa izin yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan telah berjaya ditangkap semula setakat 7 pagi, Jumaat.

Ketua Pengarah Jabatan Depot Kementerian Dalam Negeri Datuk Mohamed Asri Yusof berkata operasi mencari dan menahan semula baki 17 orang lagi giat diteruskan dengan kerjasama polis, imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Jabatan Depot telah mengambil tindakan dengan menyelaraskan proses pemindahan tahanan yang terdapat di depoh Lenggeng ke depoh-depoh yang dapat menampung penempatan tersebut.

"Seramai 68 orang akan menjalani proses pemindahan ke Depoh KLIA (Lapangan terbang Antarabangsa KL), Sepang hari ini," katanya dalam kenyataan, di sini, Jumaat.

Beliau berkata setakat ini masih terdapat 465 tahanan lelaki di depot terbabit, manakala anggaran kerosakan akibat kejadian Selasa lepas pula adalah sekitar RM30,000.

Dalam kejadian itu, kumpulan pendatang tanpa izin yang terdiri daripada warga Myanmar, Nepal, Bangladesh, Iran, Vietnam dan Thailand melarikan diri selepas membakar bangunan tahanan Blok A dan beramai-ramai merempuh pagar yang bersempadankan ladang kelapa sawit sehingga roboh. -BERNAMA

Artikel Lain