suria

23 Lagi Tahanan Imigresen Lenggeng Belum Dapat Dikesan - Polis

SEREMBAN: Sejumlah 86 orang pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng dekat sini Selasa lepas, berjaya ditahan semula.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abd Manan Mohd Hassan berkata sehingga pukul 3 petang ini, seramai 23 orang lagi pendatang asing yang melarikan diri itu belum dapat dikesan.

"Operasi mengesan mereka masih berjalan dan kami jangka lebih ramai akan dapat ditangkap semula dalam tempoh 24 jam ini. Kami harap dapat menyelesaikan operasi ini selewat-lewatnya petang esok," katanya kepada pemberita di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Khamis.

Beliau ditemui selepas lawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop ke Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Khamis.

Abdul Manan berkata operasi itu kini dipergiatkan lagi dengan kawasan pencarian diperluas.

"Kawasan tumpuan operasi setakat ini ialah di sekitar perkampungan Orang Asli kawasan Mendom, Lenggeng. Setakat ini operasi dijalankan oleh anggota polis dari semua jabatan termasuk cawangan khas, jenayah dan juga pasukan gerakan khas.

"Sekatan jalan raya dan operasi daripada unit-unit sokongan kita (polis) masih lagi berjalan. Memandangkan hari ini dah masuk hari ketiga dan kami jangka mungkin orang tahanan ini sudah pun letih dan lapar, jadi tumpuan operasi kita ialah di kawasan kampung," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penduduk kampung supaya segera menghubungi polis jika melihat orang yang tidak dikenali berkeliaran di kawasan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain