suria

Abang Johari Dicabar Ketua AMK PKR Sarawak Di Satok

KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok (N8) menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Abang Johari TunAbang Openg daripada Barisan Nasional (BN) dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pegawai pengurus pilihan raya, Onn Abdullah berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tiga bantahan yang dikemukakan terhadap kedua-dua calon berkenaan.

"Bagaimanapun setelah diteliti, tiada sebarang pencalonan ditolak dan saya dengan ini mengesahkan bahawa kedua-dua calon berkenaan layak bertanding," katanya pada pengumuman yang dibuat pada pukul 11.13 pagi Rabu.

Abang Johari tiba di pusat penamaan calon Dewan Datuk Merpati Jepang di sini pada pukul 8.50 pagi diiringi Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berserta perarakan oleh kira-kira 2,000 penyokong BN.

Sementara Ahmad Nazib tiba pada pukul 8.30 pagi diiringi Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin bersama-sama kira-kira 50 penyokong.

Pencalonan Abang Johari, 61, atau nama sebenarnya Abg Abd Rahman Zohari Abg Openg dicadangkan oleh Zalani Morshidi dan disokong oleh Basri Bolhassan.

Sementara pencalonan Ahmad Nazib, 35, yang juga peguam syariah dicadangkan oleh Ihsan Bujang dan disokong oleh Azhari Alias.

Pada pilihan raya Sarawak yang ke-10 ini, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar negeri, bertanding untuk mempertahankan kerusi DUN Satok bagi penggal kelapan.

Manakala Ahmad Nazib merupakan muka baru yang mencuba nasib untuk merampas kerusi berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain