suria

Mayat Kedua Mangsa Lemas Air Terjun Gunung Berembun Ditemui

SEREMBAN: Mayat seorang lagi remaja yang dihanyutkan 'kepala air' di air terjun Gunung Berembun di sini semalam, berjaya ditemui, Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Zakaria Amat berkata mayat Mohd Ruzaini Baharuddin, 19, ditemui orang ramai yang membantu gerakan mencari itu pada kira-kira pukul 10.16 pagi.

"Mayat mangsa ditemui tertiarap berhampiran rumpun buluh tidak jauh dari tempat kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam kejadian petang semalam, dua pasangan remaja yang berkelah di air terjun itu dirempuh 'kepala air' menyebabkan seorang remaja wanita mati lemas manakala teman lelakinya hilang dihanyutkan arus deras tersebut.

Mayat Khairulhiza Khairul, 18, dari Mambau ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada pukul 4.30 petang semalam manakala usaha mencari Mohd Ruzaini dari Klang yang dihanyutkan 'kepala air' itu diteruskan.

Pasangan itu bersama dua rakan mereka, Mohd Halim Shiddik, 19, dan Nurul Faezah Noor, 19, dari Kuala Kubu Baharu ke kawasan air terjun terbabit untuk berkelah pada pukul 12 tengah hari. - BERNAMA

Artikel Lain