suria

Tempatkan Kanak-Kanak Di Kerusi Khas Di Dalam Kereta

KUALA LUMPUR: Ibu bapa disaran supaya menempatkan anak-anak mereka di bawah umur enam tahun di kerusi khas di dalam kereta bagi memberi lebih perlindungan kepada anak-anak mereka semasa perjalanan jauh seperti cuti perayaan Tahun Baru Cina ini.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Datuk Sureth Singh berkata penggunaan tempat duduk yang menepati piawaian keselamatan bagi kanak-kanak merupakan langkah bijak yang diambil oleh ibu bapa.

"Adalah penting bagi memastikan bayi dan kanak-kanak diberi perlindungan yang sebaik mungkin dalam perjalanan," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Tahun Baru Cina 2011 peringkat negeri Selangor di sini, Rabu.

Beliau berkata pihaknya menekankan tentang penggunaan kerusi khas tersebut dalam kempen keselamatan jalan raya pada Tahun Baru Cina kali ini.

Plus Expressways Berhad menjangkakan kira-kira 1.4 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan semasa perayaan Tahun Baru Cina yang disambut pada 3 dan 4 Feb ini, yang merupakan peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 1.1 juta kenderaan pada hari-hari biasa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain