suria

ADUN Saman Kerajaan Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Pejabat Daerah Seberang Perai Utara berhubung arahan untuk beliau mengosongkan Pusat Komuniti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga pada 19 November tahun lalu.

Azhar, 65, yang merupakan ADUN Penaga memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini, mengeluarkan perintah supaya semua prosiding yang terlibat ditangguhkan sehingga semakan kehakiman tersebut selesai.

Beliau yang mewakili Barisan Nasional juga memohon deklarasi bahawa arahan yang dikeluarkan oleh pejabat daerah itu sebagai tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Permohonan itu dibuat atas alasan ia dilakukan dengan niat jahat (mala fide) dan berdasarkan agenda politik.

Pada Isnin, Hakim (Rayuan Dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Rohana Yusuf menetapkan 14 Februari depan untuk mendengar permohonan tersebut.

Peguam Mohd Zaharudeen Harun yang mewakili Azhar berkata, mahkamah telah mengarahkan beliau untuk menyerahkan semua dokumen yang berkaitan dengan permohonan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang.

Beliau menambah, salinan permohonan juga telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Berdasarkan rekod mahkamah, Azhar yang menjadi ADUN sejak 1990, mendakwa terdapat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat pada 2005 untuk membina pusat komuniti yang dikenali sebagai Pusat Komuniti Kadun Penaga.

Dalam afidavit yang diikrarkan beliau pada 13 Disember lalu, beliau mendakwa pusat itu dibina pada tanah milik Kerajaan Negeri manakala Kerajaan Pusat memberi peruntukkan RM245,000.

Beliau menambah, kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa pusat itu akan digunakan oleh ADUN Penaga yang dilantik, tanpa mengambil kira pegangan politik.

Dalam saman tersebut, Azhar mendakwa, pusat itu mula beroperasi pada 2006 dan digunakan oleh pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pergerakan pemuda dan juga sebagai pusat aktiviti agama.

Beliau turut mendakwa, telah menerima notis pada 8 November lalu daripada pejabat daerah berkenaan mengarahkan beliau untuk memulangkan kunci pusat komuniti atas alasan ia terletak di tanah Kerajaan Negeri.

Azhar seterusnya mendakwa, beliau telah menghantar surat bertarikh 16 November lalu untuk pegawai tersebut mempertimbangkan arahan itu, tetapi masih belum menerima sebarang balasan.

Artikel Lain