suria

Novel Interlok Sesuai Digunakan Untuk Subjek Sastera - IKSEP

MELAKA: Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) berpandangan Interlok sesuai dijadikan salah sebuah novel untuk komponen sastera di sekolah kerana kandungannya berdasarkan fakta sejarah.

Justeru, kata Pengurus Besar Iksep Datuk Aziz Ujang, Kementerian Pelajaran harus bertegas dalam isu tersebut dan tidak tunduk kepada desakan pihak tertentu yang mahu penggunaan buku itu dalam pengajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima bermula tahun ini ditarik balik.

"Secara logik dan rasional, saya ingat budak-budak sekolah rendah pun boleh fikir, sudah lebih 40 tahun novel ini diterbitkan dan tidak ada masalah pun. Tiba-tiba hari ini segelintir pihak ini bangkitkan dan memperhangatkannya menjadi isu perkauman," katanya kepada Bernama, di sini pada Rabu.

Interlok adalah karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang memaparkan tema mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900an hingga merdeka.

Keputusan Kementerian Pelajaran untuk menggunakan novel itu dalam pengajaran di sekolah mencetuskan kontroversi pada kalangan pihak tertentu yang mendakwa kandungannya menghina kaum India di negara ini.

Aziz juga menolak dakwaan menghina kaum India itu kerana novel ditulis berdasarkan fakta sejarah yang harus diketahui generasi muda.

Katanya pihak yang membantah itu seharusnya membaca dan menghayati kandungan novel tersebut kerana mesej sebenar yang disampaikan penulis ialah jalinan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Saya fikir dia tidak baca, memahami dan menghayati novel ini. Novel ini menceritakan fakta sejarah, perkara betul, takkan lah kita hendak nafikan perkara yang betul.

"Saya yakin penulis ini hendak menggambarkan bagaimana timbulnya semangat patriotik, jati diri di kalangan orang Cina, India dan Melayu supaya mereka bersatu dan bersama dalam memperjuangkan kemerdekaan negara kita," katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan campur tangan segelintir 'orang politik' untuk kepentingan peribadi akan menjejaskan keharmonian rakyat yang dinikmati selama ini. - BERNAMA

Artikel Lain