suria

Sistem Pangkalan Data Biometrik Warga Asing Bakal Dilaksanakan

KUALA LUMPUR: Sistem Pangkalan Data Biometrik Warga Asing yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi mampu menangani isu dan permasalahan warga asing dengan lebih berkesan dan efektif khususnya daripada segi penyalahgunaan pas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata data pelawat asing yang memasuki negara ini secara sah tetapi melakukan kesalahan dan ditangkap oleh pihak berkuasa juga akan direkodkan dan disimpan dalam sistem ini di bawah kategori Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

"Data biometrik PATI ini akan disimpan secara kekal bagi tujuan semakan kawalan imigresen di pintu-pintu masuk negara," katanya semasa menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg di Dewan Negara, Rabu.

Lee berkata setiap warga asing yang memasuki negara ini bukan sahaja akan disemak maklumat biodatanya malahan data biometriknya akan turut disemak berdasarkan semakan sistem senarai syak Jabatan Imigresen Malaysia.

"Langkah ini bukan sahaja mampu menjejak malah mengekang dan memantau kemasukan semula PATI sebagai pelawat asing di pintu-pintu masuk negara," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain