suria

1,505 OKU Berjaya Dipulihkan Tahun Lepas

KUALA LUMPUR: Sehingga tahun lepas, sejumlah 1,505 orang kelainan upaya (OKU) berjaya dipulihkan daripada kemalangan untuk kembali bekerja, kata Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial(PERKESO), K. Selvarajah.

Beliau berkata, sejumlah 343 orang OKU kini sedang dibantu untuk mendapatkan kembali pekerjaan sama ada ke tempat majikan asal ataupun majikan baru.

"Ada yang tidak bermotivasi... lazimnya yang muda tidak begitu berminat untuk menyertai, jadi cabaran utama kita ialah untuk memotivasikan mereka (untuk kembali bekerja)," katanya selepas merasmikan mini karnival pekerjaan "Return To Work" (Kembali Bekerja) di Wisma PERKESO, di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Kuala Lumpur (JTK KL), Engku Adlin Engku Mohd Ariffin.

Program sehari anjuran bersama PERKESO dan JTK KL itu menghimpunkan 20 syarikat tempatan yang menawarkan lebih 200 peluang pekerjaan kepada 60 orang berinsurans di sekitar Lembah Klang.

Selvarajah berkata, sejumlah 35 pengurus kes diwujudkan PERKESO untuk memberi latihan dan pemulihan kepada golongan berkenaan.

Mengulas mengenai program pada hari ini, Selvarajah berkata program berkenaan diadakan bertujuan membantu golongan OKU mendapatkan kembali pekerjaan selepas pulih daripada kemalangan.

"Sebelum ini, orang yang ditimpa kemalangan dan tidak dapat bekerja, kita membayar pampasan, sekarang ini kita tumpu kepada pemulihan orang berinsurans yang ditimpa kemalangan dan kembali ke dunia pekerjaan" katanya.

Katanya, program itu berkemungkinan diperluaskan ke seluruh negara pada masa depan sekiranya program kali ini mendapat sambutan hangat daripada golongan OKU.

Program Return to Work dilancarkan pada 2007 bertujuan membantu orang berinsurans PERKESO yang mengalami kecederaan atau penyakit sama ada di bawah Skim Bencana Pekerjaan atau Skim Pencen Ilat bagi membolehkan mereka kembali bekerja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain