suria

Anak Ketua Pemuda MCA Kuantan Dibebaskan Dua Jam Selepas Diculik

KUANTAN: Anak perempuan Ketua Pemuda MCA Kuantan yang dipercayai diculik oleh dua lelaki ketika sedang bermain di hadapan rumahnya di Bukit Pelindung di sini petang Ahad ditemui semula kurang dua jam selepas itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC T. Narenasagaran berkata, kejadian itu berlaku pada 5.45 petang ketika kanak-kanak itu bersama abangnya berusia 11 tahun sedang bermain di hadapan rumah mereka.

"Ketika sedang leka bermain, dua lelaki bertopi yang menaiki sebuah kereta Perodua Viva secara tiba-tiba berhenti dan melarikan budak perempuan itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau berkata, 45 minit selepas kejadian, bapa kanak-kanak itu membuat laporan polis dan budak perempuan itu ditemui sedang menangis oleh orang awam pada 7.30 malam, tiga kilometer dari rumahnya.

Katanya budak itu tidak dicederakan tetapi terdapat kesan ikatan pada kaki dan tangannya.

Sehingga kini motif penculikan masih dalam siasatan, kata Narenasegaran.

Bapa kanak-kanak itu, Chiew Yoke Theng, berkata beliau mengetahui mengenai penculikan itu daripada isterinya pada pukul 5 petang Ahad dan terus membuat laporan polis.

Katanya beliau gembira dan bersyukur sebaik menerima panggilan telefon mengenai penemuan anaknya itu daripada satu keluarga dari Bukit Setongkol di sini.

"Anak saya ingat nombor telefon saya, dia berikan kepada keluarga tersebut yang terus hubungi saya. Anak saya dalam keadaan baik dan tidak diapa-apa oleh penculik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain