suria

Rosmah Cadang Risda Tubuh Pusat Asuhan Permata

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri Datin Seri rosmah Mansor mencadangkan agar Risda menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak berasaskan sukatan Program Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (Permata Negara) di semua kawasannya.

Beliau berkata penyediaan pusat seumpama itu membolehkan anak-anak pekebun kecil di luar bandar mendapat peluang dan tidak terpinggir daripada mengecapi pendidikan awal secara holistik.

"Saya berpendapat adalah menjadi tangungjawab para ibu menyediakan asas pendidikan yang sempurna kepada kanak-kanak dari semasa kecil lagi sebagai saham masa depan mereka, keluarga dan negara," katanya dalam ucapan merasmikan perhimpunan 1,000 Wanita Pekebun Kecil Kebangsaan di ibu pejabat Risda di sini Selasa.

Rosmah, yang juga Penaung Program Permata Negara berkata, pihaknya sanggup bekerjasama dengan mana-mana pihak yang ingin menyediakan pusat asuhan Permata di tempat kerja mereka.

"Mana-mana pembinaan pusat asuhan yang mengikuti silibus PERMATA akan mendapat peruntukan daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas, lebih 400 pusat asuhan kanak-kanak milik Jabatan Pembangunan Komuniti, Jabatan Perpaduan Negara serta pusat asuhan kanak-kanak di pejabat yang baru dibina, telah dinaik taraf atau diperbaharui sebagai pusat-pusat Permata Negara.

Menurutnya, pusat-pusat Permata Negara kini telah dibina dengan cantik sehingga terdapat kanak-kanak yang mahu menginap terus di pusat itu berbanding di rumah mereka.

Pada majlis itu, Risda memberi pengiktirafan Anugerah Wira Wanita 1Malaysia kepada Rosmah kerana jasa dan sumbangan beliau dalam pelbagai pertubuhan serta membangunkan masyarakat wanita, Orang Kurang Upaya dan Program Anak Permata Negara dan Sidang Kemuncak Wanita Pertama bulan lepas.

Risda turut menyampaikan anugerah kepada wanita pekebun kecil yang banyak menyumbangkan jasa serta berjaya dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, keluarga dan kemasyarakatan dengan masing-masing menerima RM1,000, piala dan sijil.

Anugerah Perkumpulan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) diberikan kepada PWPK Durian Chondong, Muar, Johor manakala Anugerah Tokoh Usahawan Wanita Pekebun Kecil diberi kepada Nura Mardi dari Kampung Pasir Semenyih, Selangor dan Anugerah Tokoh Wanita Pekebun Kecil dimenangi Ronirah Kusni dari Kampung Parit Haji Hassan, Simpang Renggam, Johor.

Pengerusi Risda Tan Sri Rahim Thamby Chik berkata Risda memberi tumpuan khusus kepada kaum wanita untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam pembangunan masyarakat pekebun kecil termasuk penubuhan 766 PWPK dengan keanggotaan seramai 12,845 orang di seluruh negara. - BERNAMA

Artikel Lain