suria

57 Pesalah Jalani Perintah Kerja Komuniti Harian Sejak September

KLUANG: Lima puluh tujuh pesalah menjalani kerja komuniti harian menerusi pelaksanaan Perintah Kehadiran Berwajib yang dilaksanakan kerajaan mulai September lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 17 ialah di Pulau Pinang, Perak (12), Johor (10), Pahang (10), Kelantan (tiga), Kuala Lumpur (dua), Terengganu (dua) dan Selangor (seorang).

"Pelaksanaan Perintah Kehadiran Berwajib terhdap 57 pesalah itu bermula apabila mahkamah menjatuhi hukuman untuk hadir ke Pusat Kehadiran Berwajib sebagai alternatif hukuman penjara yang menggunakan Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia, di Kompleks Penjara Kluang, di sini, Isnin.

Beliau berkata terdapat kira-kira 50 Pusat Kehadiran Berwajib termasuk rumah orang tua, rumah anak yatim dan pusat ibadat dengan kesemua pesalah yang terlibat diwajibkan menjalani kerja amal selama empat jam sehari selama tiga bulan di pusat berkenaan.

"Hukuman ini merupakan hukuman alternatif kepada pesalah daripada dikenakan hukuman penjara kurang dari tiga bulan. Pesalah tidak perlu menjalani hukuman di dalam penjara, sebaliknya mereka perlu melakukan kerja amal contohnya membersihkan pusat ibadat dan rumah orang tua itu," katanya.

Lee berkata pelaksanaan Perintah Kehadiran Berwajib yang merupakan satu daripada usaha mentransformasikan program penjara itu, setakat ini mendapat kerjasama yang baik daripada masyarakat dan pusat-pusat yang terlibat.

Beliau berkata kementerian mensasarkan kira-kira 150 pesalah menjalani program itu sehingga akhir tahun ini, dan pada masa yang sama program itu akan diperluaskan ke Melaka, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

Sementara itu, Lee berkata bagi Jabatan Penjara Malaysia akan berkerjasama dengan Yayasan Tuanku Nur Zahirah bagi meningkatkan kemahiran menenun songket di kalangan penghuni penjara sebagai persediaan menceburi bidang keusahawanan apabila dibebaskan kelak.

Beliau berkata buat masa ini latihan tenunan itu dilaksanakan di Penjara Marang, Terengganu dan Penjara Bentong, Pahang dengan memberi khidmat nasihat dan bimbingan bagi menghasilkan reka bentuk, corak dan fesyen terkini dalam industri songket.

Turut hadir pada sambutan Hari Penjara bertemakan "1Penjara Ke Arah Transformasi" itu ialah Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Wira Zulkifli Omar. -BERNAMA

Artikel Lain