17 Sedang Berpesta Di Bawah Pengaruh Dadah Ditahan

PORT DICKSON: Polis menahan sembilan wanita dan lapan lelaki yang sedang leka berpesta di sebuah bilik hotel di sini awal pagi Ahad selepas ujian mendapati semua mereka positif menggunakan dadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Baljeet Singh berkata semua mereka yang berumur dari belasan tahun hingga sekitar 30-an itu ditahan pada kira-kira pukul 3.15 pagi selepas polis menerima aduan daripada penghuni hotel yang lain mengenai bunyi bising di bilik itu.

"Siasatan awal polis mendapati kumpulan lelaki dan wanita itu masuk ke hotel berkenaan semalam dan kebanyakan mereka berasal dari luar Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata semua yang ditahan itu kini direman selama dua hari bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) kerana kesalahan mengambil dadah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain