suria

Amaran Merah Hujan Lebat Di Beberapa Kawasan Di Timur Dan Utara Semenanjung

KUALA LUMPUR: Jabatan Meterologi Malaysia meningkatkan Amaran Peringkat Merah berikutan hujan lebat di beberapa kawasan di utara dan pantai timur Semenanjung sejak beberapa hari lepas.

Kawasan terbabit adalah daerah Tumpat, Kota Baharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli di Kelantan, manakala di Kedah melibatkan daerah Kubang Pasu dan Padang Terap serta di keseluruhan Perlis.

Jabatan itu, menerusi laman webnya, turut mengeluarkan Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning di beberapa daerah termasuk Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Sik dan Baling di Kedah, serta Daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu di Terengganu juga ditingkatkan kepada Amaran Hujan Lebat Peringkat Jingga.

Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir Peringkat Kuning diberikan di beberapa kawasan di Kedah termasuk daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu serta keseluruhan Pulau Pinang.

Hujan dijangka berlanjutan di kesemua daerah sehingga Rabu ini yang boleh menyebabkan banjir di kawasan berkedudukan rendah dan berhampiran sungai.

Amaran peringkat Jingga bermaksud angin kencang dengan kelajuan 50-60 km/j yang boleh menyebabkan pokok bergoyang manakala Amaran Peringkat Merah bermaksud angin kencang dengan kelajuan sekurang-kurangnya 60 km/j dan boleh menyebabkan pergerakan menentang arah angin terhalang dan boleh merosakkan struktur bangunan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Suhana Mohamed Salleh berkata pihaknya sudah bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan sekiranya cuaca buruk berterusan.

"Petugas-petugas telah pun bersedia, dan sekiranya petugas yang ada tidak mencukupi, sukarelawan dari setiap negeri ada untuk membantu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Buat masa ini, katanya bot-bot penyelamat dihantar bagi membantu setiap kawasan, dan bagi negeri-negeri di utara, PBSMM di Pulau Pinang akan mengetuai operasi.

"Selain bot penyelamat, pihaknya juga akan menyediakan kenderaan pacuan empat roda bagi melicinkan operasi pemindahan mangsa banjir," katanya.

Mengenai status banjir di utara, Suhana berkata tujuh bilik gerakan banjir di Perlis dikenal pasti iaitu satu di Arau, lima di Beseri dan satu lagi di Kangar.

"Mengikut laporan yang diterima tadi, setakat ini seramai 500 mangsa telah pun dipindahkan," katanya.

Di KEDAH, kira-kira 200 lagi penduduk di sekitar daerah Kubang Pasu dipindahkan ke pusat pemindahan banjir ekoran banjir pukul 3 petang.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Cawangan Kedah, Samad Abdullah berkata jumlah mangsa dipindahkan setakat ini kira-kira 700 orang.

Samad berkata berikutan hujan berterusan, paras banjir mungkin meningkat di paras lebih tinggi lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata PBSMM akan membantu mangsa di pusat-pusat pemindahan banjir, mengagihkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga mengaturkan penempatan. - BERNAMA

Artikel Lain