suria

Kementerian Kesihatan Salur RM1.1 Juta Untuk Bekalan Air Luar Bandar Di Kelantan

GUA MUSANG: Kementerian Kesihatan sehingga kini sudah menyalurkan peruntukan kerajaan berjumlah RM1.1 juta bagi melaksanakan projek-projek bekalan air luar bandar di Kelantan.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin berkata projek yang dikenali sebagai Program Bekalan Air Luar Bandar (Bakas) yang dilaksanakan oleh kementerian melalui Unit Bakas itu adalah khusus bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat luar bandar yang kebanyakannya dari kalangan penduduk miskin.

Beliau berkata ia adalah usaha kerajaan bagi memberi perkhidmatan air alternatif kepada kaedah pembekalan tradisioanal yang diamalkan di kampung-kampung di kawasan pendalaman yang biasanya menggunakan sumber bekalan air semulajadi seperti air sungai dan air telaga.

"Sehingga kini, Kelantan mencapai 84.7 peratus liputan air bersih iaitu dengan melibatkan 223,115 buah rumah, manakala 15.2 peratus iaitu 40,212 lagi masih belum mendapat perkhidmatan sama ada yang disediakan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mahupun kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penyerahan projek Bakas Dun Galas di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Kesedar Sungai Terah di sini, Isnin.

Rosnah berkata bekalan air yang bersih dan selamat adalah mustahak bagi kegunaan harian masyarakat dan ketiadaannya mampu mengundang pelbagai jenis penyakit seperti taun, demam kepialu, cirit birit dan hepetitis.

"Saban tahun Kelantan menduduki tangga yang teratas bagi statistik kejadian penyakit-penyakit bawaan air serta makanan, dan keadaan ini perlu diperbaiki," katanya.

Beliau berkata tahun ini sahaja Kelantan mencatatkan enam kes penyakit taun, penyakit demam kepialu (28 kes), manakala bagi kes keracunan makanan 2168 kes dicatatkan. - BERNAMA

Artikel Lain