suria

Risalah Promosi Malaysia Di Shanghai Banyak Kesilapan Memalukan

KUALA LUMPUR: Memalukan apabila risalah mempromosikan Malaysia yang diedarkan di Pavilion Malaysia sempena Ekspo Dunia Shanghai 2010 mempunyai banyak kesilapan ejaan dan penggunaan tata bahasa serta struktur ayat yang lemah.

Demikian dedah Anthony Loke (DAP-Rasah) pada sidang media di lobi Parlimen di sini pada Khamis.

Beliau berkata, setiap pelawat yang mengunjungi Pavilion Malaysia akan diberikan ‘goodie bag’ daripada Tourism Malaysia yang antaranya mengandungi beberapa risalah dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

“Apa yang memalukan apabila tahap penguasaan Inggeris yang ‘dipersembahkan’ dalam risalah berkenaan amat mendukacitakan.

“Lebih menyedihkan apabila mendapati sebanyak 11 kesilapan ejaan pada risalah asli yang mempromosikan Malaysia. Ayat pertama sahaja menggunakan perkataan-perkataan ‘bombastic’ tetapi struktur ayatnya begitu lemah,” katanya.

11 kesalahan ejaan yang dikenal pasti dalam risalah itu seperti nulticultural (multicultural), Taman Nerara (Taman Negara), incite (invite) dan decelopment (development).

Antara lain adalah Pacilion (Pavilion), locationgs (location), pictureque (picture), visitous (visitor), form (from) dan ctry (country).

“Saya difahamkan, perkataan 'locationgs' adalah Inggeris ala loghat Terengganu. Itu baru 11 kesilapan ejaan, belum lagi penggunaan tata bahasanya sangat lemah,” katanya.

Anthony berkata, beliau bukanlah pakar tetapi tertanya-tanya apa yang dapat diperjelaskan oleh ‘pakar’ kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen mengenai perkara tersebut.

“Saya juga tertanya-tanya bagaimana ‘pakar’ itu boleh cuai sehingga terlepas pandang mengenai kesilapan yang tidak sepatunya berlaku,” katanya lagi.

Anthony turut kesal dengan konsep Pavilion Malaysia yang menelan belanja RM35 juta tidak mencerminkan tema ekspo dunia berkenaan iaitu ‘Better City – Better Life'.

Menurutnya, hanya produk tempatan ditonjolkan dan itu bukan tujuan utama sebaliknya mempamerkan apa yang negara boleh sumbangkan kepada kehidupan lebih baik.

“Saya betul-betul kecewa dengan Pavilion Malaysia, ditambah pula dengan kesilapan yang berlaku amat memalukan.

“Risalah itu diberikan kepada semua pelawat dari seluruh dunia. Bayangkan apa yang mereka fikir mengenai Malaysia berkaitan dengan standard bahasa Inggeris,” katanya.

Anthony memperjelaskan, risalah tersebut diperoleh dari Shanghai sewaktu kunjungannya bersama Ahli Parlimen DAP lain ke ekspo itu pada September lalu.

Katanya, beliau bukan ‘insan bertuah’ apabila seorang sahaja yang mendapat risalah sedemikian (dengan kesilapan ejaan, penggunaan tatabahasa dan struktur ayat lemah).

“Ini adalah edisi pada September. Saya tidak tahu berapa edisi yang mereka ada. Sudah tentu bukan sehelai dua diedarkan kerana ia pasti dicetak dalam jumlah besar,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain