suria

Wanita Perak Cadang Sistem Sekolah Satu Aliran

KUALA LUMPUR: Wanita Umno Perak mencadangkan agar sistem persekolahan dalam negara menggunakan satu aliran dengan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar.

Ketua Wanita Umno Bahagian Lenggong , Datuk Khamsiyah Yeop berkata, usaha tersebut bagi memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar sekolah negara ini.

“Kita tidak akan pinggirkan bahasa-bahasa lain Mandarin, Jepun atau Jerman boleh diajar sebagai bahasa pilihan atau elektif.

“Ini akan memberikan kelebihan kepada para pelajar apabila mereka dapat menguasai lebih daripada satu bahasa,” katanya ketika berbahas ucapan dasar Ketua Pergerakan Wanita Umno di Dewan Tun Hussein Onn di sini, Rabu.

Khamsiyah berkata, sekiranya slogan 1Malaysia berjaya maka slogan 1Bahasa dan 1Negara akan berjaya.

Mengenai Program Anak Permata Negara (PAPN), katanya, program tersebut perlu diperluaskan lagi agar lebih ramai kanak-kanak dalam negara dapat didedahkan dengan pendidikan canggih ala pusat kecemerlangan Peen Green di England itu.

“Sekiranya program ini dapat diwujudkan di sekolah, pejabat, dan institusi pengajian tinggi maka masalah kecuaian di pusat-pusat asuhan swasta yang dilaporkan oleh media baru-baru ini dapat diatasi.

“Pada hemat saya program ini cukup baik serta lengkap dengan tujuan mewujudkan insan yang seimbang, harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan,” katanya.

PAPN merupakan inisiatif isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga merupakan penaung program itu.

Program tersebut memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara terancang serta bersepadu, yang bakal menjadi penyumbang utama kepada pembangunan modal insan negara.

Artikel Lain