25 Pati Dakwa Diancam Dengan Pistol Oleh Tekong - Semasa | mStar

25 Pati Dakwa Diancam Dengan Pistol Oleh Tekong

PADANG BESAR: Sekumpulan 25 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di ladang tebu Chuping dekat sini semalam dikatakan telah diancam dengan pistol oleh tekong darat.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin berkata, salah seorang pendatang yang ditahan itu mendakwa mereka diancam dengan senjata api itu jika enggan menyeberangi pagar sempadan untuk memasuki negara ini.

Lelaki itu adalah antara 16 lelaki warganegara Bangladesh dan lapan lelaki dan seorang wanita warganegara Myanmar yang ditahan kira-kira pukul 1 pagi semalam oleh UPP kawasan Chuping, katanya kepada pemberita di Kem UPP Chuping hari ini.

Menurutnya, Mereka yang berumur antara 17 dan 37 tahun itu juga dikatakan terpaksa membayar sebanyak US$1,000 seorang kepada sindiket di Thailand untuk membolehkan mereka memasuki negara ini bagi mendapatkan pekerjaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati warganegara Bangladesh itu dipercayai tiba di Lapagan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lalu melalui agensi yang menjanjikan pekerjaan di negara ini.

"Bagaimanapun mereka tidak dapat memasuki negara ini kerana tidak mempunyai visa lalu meneruskan perjalanan ke Phuket, Thailand dari sana, mereka dibawa menaiki sebuah kenderaan pikap selama enam jam ke sempadan Malaysia sebelum diarah menceroboh negara ini melalui pagar sempadan yang dipotong di kawasan ladang tebu Chuping.

Menurutnya, pada mulanya, kumpulan pendatang itu enggan memasuki negara ini dengan cara itu tetapi terpaksa akur kerana mereka diancam dengan pistol.

"Mereka dipercayai masuk ke negara ini kira-kira pukul 10 malam dan berjalan kaki di kawasan ladang tebu selama lebih dua jam sehingga mereka ditangkap UPP yang sedang membuat intipan," kata beliau.

Bagaimanapun, tekong darat berjaya melarikan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa.

Ghazali berkata, hasil pemeriksaan mendapati 16 warganegara Bangladesh mempunyai dokumen perjalanan yang sah tetapi tidak mempunyai visa untuk masuk ke negara ini manakala sembilan warga Myanmar yang turut ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Katanya, kesemua warga Myanmar itu merupakan mangsa sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa yang bermula dari negara asal mereka yang menjanjikan pekerjaan di negara ini.

Mereka yang ditahan telah diserah kepada Imigresen untuk tindakan lanjut, tambah beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

30 Anggota ATM Berangkat Ke Afghanistan

Artikel Berkaitan

Artikel Lain