suria

Wanita Umno Azam Lindungi Hak Melayu

KUALA LUMPUR: Wanita Umno berazam akan terus melindungi hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Bumiputera di negara ini seperti mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pergerakan itu tidak akan berkompromi dengan tuntutan sesetengah pihak untuk mencabuli peruntukan yang termaktub dalam Perlembgaan Persekutuan.

"Pada masa yang sama, Wanita Umni akan melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Wanita Umno tidak akan membiarkan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutian dicabuli atau dicemari. Perkara 153 jelas melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita Umno di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Rabu.

Turut hadir wakil Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamad, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Datuk Azian Mansor.

Menurut Shahrizat, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati kerana ia adalah maruah negara.

"Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama dan ibu segala perundangan di tanah air kita.

"Perlembagaan Persekutuan melindungi hak dan kepentingan semua rakyat; Melayu, Cina, India serta suku kaum lain.

"Sesiapa yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan bukan hanya salah di sisi undang-undang tetapi boleh diibaratkan sebagau satu perderhakan kepada ibu sendiri," katanya.

Shahrizat berkata, setiap ahli parti perlu sedia berkorban demi mempertahankan setiap perkara yang termaktun dalam Perlembagaan Persekutuan dari sebarang tentangan dan penghinaan.

"Janganlah kita mengabdikan diri kepada godaan cauvinisme yang murah.

"Janganlah sesiapa melampaui batas Perlembagaan, mahupun prinsip-prinsip sepakat Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Jangan kita terperangkap dengan politik rakus sesetengah pihak yang akan dan sedang memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum, agama dan bangsa," ujarnya.

Beliau juga menggesa, ahli parti bersatu hati dan tidak mengamalkan sikap ektremisme dalam berpolitik.

"Jika kita membiarkan perkara ini akan memakan jiwa dan kehidupan kita, maka akan hancur dan huru-haralah negara kita.

"Kita akan bermusuhan antara satu sama lain kerana adanya sikap syak wasangka dan benci-membenci terhadap keistimewaan mahupun kepentingan sah kaum masing-masing. Walahal, Perlembagaan Persekutuan mengambil kira semua aspek kehidupan dan kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Oleh itu, beliau menyeru semua ahli Wanita Umno tidak terperangkap dalam poltik keterlaluan dan ektremisme.

"Untuk orang lain menghormati kita orang Melayu, kita mesti membangkitkan semulia Kemuliaan Bangsa Melayu. Kemuliaan Melayu menjadi punca segala manfaat yang kita nikmati sepanjang sejarah kita.

"Tanpa kemuliaan, kita umpama seorang tuan yang penat bekerja meminta orang lain untuk menghormati kita. Jika mahu orang lain akur dan menghormati kita, maka yang utama adalah jiwa murni, akhlak terpuji dan nilai budi. Barulah orang lain membeli," ujarnya.

Jelasnya, Wanita Umno harus memupuk dan memipin negara bangsa berdisiplin, beriman dan berintegriti.

"Sifat-sifat inilah yang merupakan rukun istilah kehebatan mana-mana bangsa.

"Bukan kesombongan, kebencian, perkauman atau keserakahan, yang sebenarnya adalah sifat-sifat imperialis yang sudah lama kita tolak.

"Andai kata kita sekarang ini memalingkan muka daripada seruan ini yang asli, tulen dan benar, nescaya kita akan mengkhianati darah dan sejarah sendiri," katanya.

Justeru, Shahrizat berkata wanita perlu menggunakan kekuatan minda, modal intelek, daya kreativiti dan inovasi untuk bersama-sama mentransformasikan Malaysia bagi mencapai status negara maju dan ekonomi berpendapatan tinggi.

"Wanita adalah kuasa ekonomi dan aset penting kepada negara yang dapat menentukan kejayaan Program Transformasi Kerajaan dan seterusnya mewariskan kepada generasi akan datang.

"Kunci kepada formula kejayaan menyeluruh ini ialah kesaksamaan gender. Pendekatan ini dapat memastikan wanita dan lelaki bebas membangunkan keupayaan dan potensi masing-masing dalam membuat pilihan tanpa ada halangan dari segi stereotaip gender, peranan gender yang rigid serta prejudis," katanya.

Katanya, pendekatan kesaksamaan gender meruapakan pendekatan yang memberi layanan dan peluang yang adil diberi berdasarkan keperluan, kepentingan dan aspirasi yang berbeza antara wanita dan lelaki.

"Kegagalan mengambil kira keperluan, kepentingan dan aspirasi wanita dalam agenda pembangunan negaran hanya akan membawa kepada kepincangan dan kehancuran dasr yang digubal.

"Lebih malang lagi, tidak mengoptimumkan potensi wanitan yang merupakan separuh daripada penduduk Malaydia, adalah satu pembaziran kepada modal insan negara," katanya.

Shahrizat turut menyeru Wanita Umno bersiap sedia untuk memperjuangkan peranan lebih bermakna di dalam parti dan kerajaan.

"Saya tahu bahawa di kalangan Wanita Umno ramai mempunyai bakat dan potensi yang menunggu untuk digilap sekiranya diberi peluang.

"Kalau Umno tidak mahu ketinggalan zaman maka isu gender politik mesti diambil serius dan dihayati.

"Saya dan Ahli Exco Wanita mesti berani memperjuang dan menyediakan 'prasarana' dan 'lebuh raya' untuk melonjak ke satu tahap kepimpinan yang membanggakan," katanya.

Beliau yakin sekiranya Wanita Umno bersiap sedia Umno akan menang besar Pilihan Raya Umum ke-13.

"Saya percaya ia tidak mustahil boleh berlaku di era kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerana beliau seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan berani mengupayakan wanita.

"Saya menyeru semua ahli Wanita Umno Malaydia terus sama-sama bermuafakat, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bergerak seiring melakar kejayaan, merealisasikan gagasan 1Malaysia," katanya.

Pada majlis tersebut, Anugerah Nadi Negara turut diberikan kepada 16 pelajar mahasiswi yang cemerlang dari Institusi Pengajian Tinggi Awam di negara ini.

Artikel Lain