suria

Keprihatinan Golongan Muda Mengenai Isu Nasional Bukti Kejayaan Dasar Kerajaan - Muhyiddin

KOTA KINABALU: Wujudnya keprihatinan yang lebih tinggi dalam kalangan golongan muda hari ini mengenai pelbagai isu serta kelantangan dalam menyuaranya merupakan bukti kejayaan dasar-dasar kerajaan dalam soal pembangunan modal insan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata bahawa pada masa ini pemuda-pemudi bukan lagi satu kumpulan yang pasif, dan mereka kini bersama-sama memainkan peranan yang lebih proaktif dalam membina dan membentuk hala tuju negara.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, natijah daripada perubahan senario dunia dan kepesatan proses pendidikan negara, golongan muda sudah menampakkan keprihatinan yang lebih tinggi terhadap pelbagai isu nasional, bukan sahaja bagi perkara-perkara yang melibatkan dunia golongan muda secara khusus, bahkan juga isu-isu yang lebih umum, misalnya persoalan sosio-politik dan dasar-dasar sosio-ekonomi Malaysia.

"Ini terbukti menerusi kelantangan suara golongan muda dalam pelbagai forum, sama ada dalam dunia nyata mahupun di alam siber.

"Saya menganggap ini sebagai satu perkembangan yang positif. Ia adalah satu bukti kejayaan dasar-dasar kerajaan terutama mengenai pendidikan yang menekankan soal pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan generasi muda," katanya semasa menutup dan menyampaikan hadiah pertandingan pidato dan penyampaian esei Piala Timbalan Presiden Umno peringkat negeri Sabah 2010 di sini, Isnin.

Namun demikian, beliau mengingatkan golongan belia dan muda-mudi bahawa kesederhanaan dalam semua perkara adalah kunci terbaik kepada keseimbangan, termasuklah dalam menjalani kehidupan bernegara.

"Ini termasuklah menghormati asas-asas Perlembagaan dan menghayati sumbangan para pemimpin terdahulu yang telah meletakkan batu asas kepada pembentukan Malaysia," kata Muhyiddin.

Katanya dalam konteks negeri Sabah, wawasan tokoh-tokoh terdahulu seperti Tun Datu Mustapha Harun, Tun Fuad Stephens, G.S Sundang dan lain-lain lagi dalam mencapai muafakat untuk membentuk Malaysia, perlu difahami dan dihayati oleh generasi muda hari ini.

Pandangan jauh mereka boleh dijadikan panduan oleh generasi hari ini untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah serta membina Malaysia yang bersatu padu dan sejahtera, katanya.

Menyentuh acara hari ini yang turut melibatkan peserta dari sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT), Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata persembahan pidato dan penulisan esei, merupakan aspek kemahiran yang sangat relevan kepada golongan belia dan beliawanis, kerana kedua-dua aktiviti ini sangat berkait-rapat dengan proses memahami isu, menguasai ilmu, mengasah pemikiran dan seterusnya menajamkan idea.

Katanya dalam era globalisasi di mana hambatan pelbagai budaya dan idealisme boleh datang mempengaruhi dari semua arah, kekuatan pemikiran dan penguasaan ilmu sangatlah penting, bukan hanya untuk mengukuhkan jati diri dan menjadi lebih berdaya saing tetapi yang lebih penting, untuk membenteng diri sendiri daripada terjerumus ke dalam gejala yang tidak sihat.

"Saya percaya program seperti ini boleh memberikan sumbangan yang berkesan ke arah mengeratkan lagi hubungan antara tunggak kepimpinan negara dan negeri, serta khalayak masyarakat setempat.

"Tanpa jalinan yang erat antara pemimpin dan rakyat, usaha pembangunan yang lebih bermakna, tentunya akan sukar untuk direlialisasikan. Semangat ini terpancar dengan jelas dalam slogan: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya, sambil memuji usaha penganjur iaitu pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Sabah. Muhyiddin berangkat pulang ke ibu negara selepas itu. Beliau berada di Kota Kinabalu sejak pagi tadi untuk melancarkan Persidangan Pelancongan Dunia 2010, dan Kempen Minum Susu 1Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain